Kain rentang provokasi cemari PRK Mahkota

Kain rentang berunsur provokasi yang didakwa cuba melaga-lagakan pimpinan UMNO Bahagian Kluang.

KLUANG – Jentera Perpaduan mendakwa wujud kain rentang provokasi dipasang pihak tidak bertanggungjawab di pusat daerah mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) BN, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kain rentang provokasi dalam bahasa Melayu dan Mandarin itu dikesan pada jam 3 pagi Sabtu dengan dipasang di 18 PDM BN.

“Kain rentang tersebut memaparkan gambar calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan ucapan tahniah menang Mahkota bakal jadi Ketua UMNO Bahagian Kluang.

Kain rentang berunsur provokasi yang dipasang di PDM BN.

“Ia cuba melaga-lagakan pimpinan UMNO Bahagian Kluang. Seperti yang semua maklum, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Jais Sarday.

“UMNO tidak akan ada pemilihan parti sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi Perpaduan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Kain rentang provokasi dalam bahasa Melayu dan Mandarin itu dikesan pada jam 3 pagi Sabtu dengan dipasang di 18 PDM BN.

Ahmad berkata, kain rentang tersebut sudah diturunkan dan pihaknya akan mempertimbangkan untuk membuat laporan polis.

“Ini adalah kain rentang yang tidak bertanggungjawab dan kita kesal terhadap perkara ini. Kita harap pengundi tidak akan terpengaruh dengan perkara-perkara begini.

“Ini menunjukkan pihak tidak bertanggungjawab itu, tandus idea, bankrap isu sehingga mereka lakukan perkara sebegini,” katanya.

Ahmad (tengah) pada sidang akhbar di Pusat Operasi Perpaduan bagi PRK DUN Mahkota pada Sabtu.

Dalam pada itu, Sheikh Umar mendakwa menerima panggilan telefon dari Pahang untuk keluar mengundi yang kemudiannya merayu agar mengundi Perikatan Nasional (PN).

Sheikh Umar yang juga pengundi di DUN Mahkota memberitahu panggilan daripada wanita itu mempunyai unsur hasutan yang mana sekiranya mengundi BN, ia akan dikuasi Cina.

Seramai 61,274 pemilih biasa PRK DUN Mahkota akan menjalankan tanggungjawab mereka mengundi hari ini sehingga jam 6 petang nanti membabitkan 109 saluran di 20 PDM.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply