KLUANG – Seorang pengundi warga emas hadir ke pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Eng, dengan mengayuh basikal sejauh 1.5 kilometer dari rumahnya seawal jam 7.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Sabtu.
Ong Yong Heng, 73, juga menjadi pengundi pertama selesai membuang undi di pusat mengundi tersebut pada jam 8.04 pagi.
Katanya, sudah menjadi kelazimannya untuk datang awal setiap kali hari mengundi sebelum melakukan urusan lain.
“Saya datang naik basikal dari rumah di Taman Lian Seng. Jam 7.30 pagi sudah datang.
“Memang saja datang awal. Sekarang bagus ada kerusi (untuk menunggu). Kalau datang jam 9 pagi nanti panas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.
Seorang lagi warga emas, Lok Leng, 84, juga memilih keluar mengundi awal pagi mengambil kira faktor cuaca.
“Keluar awal sebab takut petang hujan. Saya pun sudah tidak kerja, jadi mahu datang undi awal,” katanya yang selesai membuang undi seawal jam 8.06 pagi.
Sementara itu, K Nagartina, 72, dari Taman Kluang memanfaatkan cuti hujung minggu untuk keluar mengundi awal.
Katanya, suami, G Balakrishnan, 73, juga mengalami sakit kaki dan tidak boleh berdiri lama.
“Saya tidak kerja. Suami pun kerja sambilan sahaja. Sebab itu datang awal untuk mengundi, jadi boleh balik awal,” katanya.
Bagi pengundi muda, Leslie, 23, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota merupakan pengalaman kali keduanya.
Kehadirannya juga sebagai tanda semangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia sekali gus menolak dakwaan bahawa pengundi muda tidak mahu keluar mengundi.
“Saya keluar mengundi awal bersama nenek.
“Tak betul orang kata orang muda Cina tak keluar mengundi, undi senang saja,” katanya.
Bagi pasangan suami isteri, Yap Kok Yoon, 62, dan Wong Hoong Nooi, 60, mereka juga memilih keluar awal sebelum memulakan operasi perniagaan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.