Manusia sentiasa terpesona dengan kelajuan sejak zaman revolusi perindustrian. Setiap kali sebuah mesin dicipta, hasrat untuk menjadikannya lebih laju menjadi keutamaan.
Dari kereta api pertama yang meluncur di landasan, hinggalah kereta dan kapal terbang pertama, matlamatnya jelas: “Boleh tak kita buat lebih laju?” Seolah-olah kelajuan adalah ketagihan yang kita tak boleh lepaskan.
Bagi mereka yang gilakan kelajuan, salah satu impian terbesar adalah memandu secepat mungkin di atas tanah. Di bawah ini, kita akan lihat lima kenderaan darat paling laju yang pernah dicipta mengikut kelajuan tertinggi yang pernah dicapai.
-
North American Eagle Project (522.783 mph / 841.338 km/j)
Projek ini dilahirkan dengan matlamat untuk mengubah pesawat jet F-104 menjadi pesaing kelajuan darat. Dengan harapan memecahkan halaju bunyi, pasukan Kanada-Amerika yang membangunkannya hampir mencapai impian itu.
Namun, tragedi menimpa pada 27 Ogos 2019 apabila kenderaan ini terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa pemandunya, Jessi Combs. Beliau kemudiannya diiktiraf sebagai wanita terpantas di darat.
-
Spirit of America – Sonic 1 (600.601 mph / 966.547 km/j)
Pada tahun 1965, Craig Breedlove mengemudi Spirit of America – Sonic 1 dan memecahkan rekod kelajuan darat, dengan kuasa enjin jet General Electric J79, yang biasanya digunakan untuk pesawat tentera.
Dengan reka bentuk aerodinamik tiga roda dan enjin yang kuat, Sonic 1 menolak had teknologi 1960-an, menjadi simbol inovasi kelajuan pada masa itu.
-
Bloodhound LSR (628 mph / 1011 km/j)
Bloodhound LSR dicipta dengan impian besar untuk melebihi kelajuan 1,000 mph (1,609 km/j). Projek ini menggabungkan enjin jet dan roket untuk memberikan daya tolakan yang luar biasa.
Walaupun masih belum mencapai matlamatnya, ia berjaya mencapai kelajuan 628 mph pada November 2019.
Namun, projek ini terhenti buat sementara waktu akibat pandemik COVID-19 dan kini sedang mencari pemilik serta pemandu baru untuk meneruskan misi.
-
Blue Flame (630.388 mph / 1,014.656 km/j)
Pada tahun 1970, Gary Gabelich mengemudi Blue Flame dan memecahkan rekod dunia di Bonneville Salt Flats, Utah.
Kenderaan ini dikuasakan oleh gabungan gas asli cecair dan hidrogen peroksida, satu lompatan besar dalam teknologi enjin mesra alam.
Rekod kelajuan ini menunjukkan potensi bahan api alternatif dalam aplikasi berprestasi tinggi, namun rekodnya tidak bertahan lama.
-
ThrustSSC (763.065 mph / 1,227.986 km/j)
Kenderaan darat terpantas yang memegang rekod sehingga hari ini adalah ThrustSSC.
Pada tahun 1997, ia menjadi kenderaan darat pertama yang melepasi halaju bunyi, dikemudi oleh Andy Green di padang pasir Black Rock, Nevada.
Dengan dua enjin turbofan Rolls-Royce Spey yang diambil dari jet pejuang F-4 Phantom II, ThrustSSC telah memecah sempadan kelajuan yang luar biasa.
Setakat ini, tiada kenderaan darat lain yang berjaya melepasi had kelajuan supersonik yang dicapainya.
Kelajuan sentiasa menjadi matlamat yang memukau, dan kenderaan-kenderaan ini adalah bukti usaha manusia untuk mencapai impian tersebut. Soalnya, adakah kita akan melihat satu lagi rekod baru yang lebih hebat?
Dari Magellan TV
Baca Juga Motosikal Elektrik Voxan Pecah Rekod Kelajuan Dunia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.