Tidak duduk antara dua khutbah batalkan solat Jumaat, berikut perinciannya

SELAIN rukun khutbah, khatib juga perlu mematuhi dan melaksanakan syarat sah khutbah. Duduk antara dua khutbah merupakan salah satu syarat sah khutbah. Foto PEXELS

SETIAP minggu, umat Islam khususnya kaum Adam diperintahkan untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat.

Bagi yang mengejar pahala sunat yang besar, mereka pastinya akan bersiap awal dan datang ke masjid lebih awal dan duduk di saf hadapan bagi mendengar khutbah yang akan disampaikan khatib.

Khutbah Jumaat merupakan salah satu syarat sah solat Jumaat. Oleh sebab itu kita disunatkan untuk hadir awal ke masjid bagi mendengar khutbah Jumaat sesuai dengan perintah ALLAH SWT dalam ayat kesembilan surah al-Jumu’ah:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu). Demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Untuk menyempurnakan pelaksanaan khutbah tersebut, ada beberapa aspek yang perlu difahami iaitu rukun khutbah, syarat sah khutbah dan sunat dalam khutbah.

Baru-baru ini, gempar apabila para jemaah di sebuah Surau Jumaat di Pulau Pinang diminta untuk mengqadakan solat Jumaat yang dilakukan mereka apabila salah satu syarat sah khutbah tidak dilaksanakan iaitu duduk seketika atau duduk berserta toma’ninah antara dua khutbah.

Persoalannya, mengapakah perkara tersebut berlaku? Apakah khatib terlupa pada ketika itu?

Perkara itu mendapat respon daripada pendakwah, Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi dan beliau menjawab persoalan tersebut melalui media sosial TikToknya baru-baru ini.

Menurut beliau, terdapat lima rukun khutbah dan semuanya perlu diucapkan atau disampaikan kepada jemaah melalui dua khutbah Jumaat iaitu:

1 – Memuji ALLAH SWT.

2 – Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

USTAZ JAFRI ABU BAKAR AL MAHMOODI

3 – Pesanan takwa.

4 – Membaca satu ayat al-Quran.

5 – Doa kepada orang beriman dalam khutbah kedua.

Ulas beliau, khatib telah melaksanakan tugasnya apabila menyempurnakan rukun khutbah pada ketika itu, namun dia tidak melengkapkan syarat sah khutbah.

“Duduk berserta toma’ninah merupakan salah satu rukun khutbah. Sekiranya khatib meninggalkannya, maka tidak sah solat Jumaat pada hari itu dan perlu menggantikannya dengan solat Zuhur,” jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya keadaan baru selesai khutbah dan masih belum solat Jumaat, maka diperingatkan kepada khatib untuk menyempurnakan khutbahnya.

“Jika solat Jumaat telah dilakukan dan dia baru sahaja teringat, maka khutbah tersebut boleh diulang semula dan solat Jumaat dilakukan sekali lagi.

“Kalau ramai yang sudah balik (ke rumah) dan kemudiannya baru teringat, maka mereka perlu melaksanakan solat Zuhur dan mereka tidak dikira berdosa,” hurainya.

Menurut Pejabat Mufti Negeri Pahang melalui artikel bertajuk Teknik penyampaian khutbah berkualiti, syarat sah khutbah adalah seperti berikut:

1 – Mukallaf iaitu Islam, berakal dan baligh.

2 – Khatib hendaklah berdiri sekiranya berkemampuan berbuat demikian.

3 – Khatib hendaklah duduk selepas khutbah yang pertama.

4 – Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar.

5 – Khatib hendaklah menutup aurat.

6 – Khutbah hendaklah dibaca berturut-turut tanpa diselangi oleh masa yang lama tanpa sebab.

7 – Khutbah dilaksanakan sesudah masuk waktu Zuhur.

UMAT Islam disunatkan untuk hadir awal ke masjid pada hari Jumaat bagi merebut ganjaran pahala yang besar. Foto CANVA

Adapun sunat-sunat dan adab berkhutbah, Pejabat Mufti Negeri Pahang menyenaraikan beberapa perkara, antaranya:

1 – Khatib berdiri di atas mimbar ketika berkhutbah.

2 – Memulakan khutbah dengan memberi salam.

3 – Khutbah hendaklah jelas, mudah difahami dan tidak terlalu panjang.

4 – Khatib menghadap jemaah ketika berkhutbah.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply