Pengumpul bekas plastik Tupperware, sanggup berhabis, produk bakal jadi rare. Tupperware, jenama yang terkenal dengan bekas plastik berkualiti tinggi, telah menjadi pilihan ramai pengguna di seluruh dunia sejak ia diperkenalkan.
Pengumpul Bekas Plastik Tupperware Sanggup Berhabis, Produk Bakal Jadi Rare
Di Malaysia, Tupperware bukan sahaja digunakan sebagai peralatan dapur yang praktikal, tetapi juga menjadi simbol status dan gaya hidup bagi sesetengah golongan.
Produk Tupperware yang tahan lasak, inovatif, dan datang dalam pelbagai rekaan menarik membuatkan pencinta jenama ini sanggup berhabis demi mendapatkan koleksi-koleksi istimewa yang ditawarkan.
Bagi Wan Norhayati Wan Mustaffa, 38, wanita ini mengaku membesar dengan Tupperware. Ibunya, Siah @ Wook Ismail, juga adalah pengumpul bekas plastik berkenaan.
Kata Wan Norhayati, dia mengikut jejak langkah ibunya sebagai pengumpul Tupperware sejak 12 tahun lalu.
Lantaran itu, dia yang bekerja sebagai pengurus pembangunan perniagaan di sebuah syarikat dan menetap dekat Shah Alam, Selangor sanggup membelanjakan purata RM500 sebulan bagi membeli bekas plastik baharu demi menambah koleksi.
“Sebut saja Tupperware, ada kalanya saya sebak kerana terkenangkan arwah emak. Boleh dikatakan, Tupperware ini ada nilai sentimental serta dekat dengan saya.
“Tambahan, saya memang pengumpul tegar Tupperware hinggakan anak pun tahu yang saya dan Tupperware ‘berpisah tiada’.
“Malah, saya selalu pesan kepada anak supaya menjaga serta tidak menghilangkan Tupperware yang ada,” katanya.
Menurut Wan Norhayati, dia bukan saja membeli malah turut menjual Tupperware.
“Memang banyak koleksi di rumah cuma saya lebih gemar kumpul bekas plastik ungu dan merah jambu serta lebih tertarik hendak membeli jika ada keluaran jarang jumpa di pasaran.
“Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, sudah mula menjual Tupperware kerana ada permintaan.
“Bagaimanapun, bekas plastik yang saya rasakan amat bernilai, saya simpan sebagai koleksi peribadi,” katanya.
Mohd Rashid bersama koleksi bekas Tupperware kesayangannya. FOTO Ihsan Mohd Rashid Napis
“Saya bukan saja gemarkan bekas plastik jenama ini malah kehidupan saya juga banyak berubah daripada pengumpul kepada menjadi penjual.
“Saya bukan saja dapat memiliki koleksi diingini malah mampu menambah pendapatan,” katanya yang bekerja tetap sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran.
Menurutnya, arwah ibunya juga gemar mengumpul bekas plastik berkenaan manakala dia mula aktif mengumpul sejak lima tahun lalu sebelum turut menjualnya bermula pada 2021.
“Ada yang saya beli malah ada juga yang saya dapat secara percuma.
“Paling mahal yang saya beli bukan bekas plastik, tetapi penapis air yang berharga RM3,850. Ia bagi mendapat sumber air bersih berpanjangan serta kesihatan sepanjang hayat.
“Untuk bekas plastik, saya suka kumpul warna hijau mint dan sejak jadi pengumpul dan penjual, baru saya faham kenapa ramai dalam kalangan suri rumah suka kerana bekasnya pelbagai jenis serta boleh bantu selesaikan masalah mereka,” katanya.
Seorang lagi penggemar Tupperware, Safiah Aderis, 54, yang menetap di Puncak Alam, Selangor berkata, jenama itu sudah sebati dengannya sejak hampir tiga dekad lalu kerana dia bukan sekadar pengumpul, malah sebagai punca rezeki selepas turut menjualnya sepanjang tempoh itu.
Gambar kenangan Safiah dan Allahyarham suami, Azhar ketika melawat kilang Tupperware di Korea Selatan pada 1996. FOTO Ihsan Safiah Aderis
Terdahulu, Tupperware, pengeluar bekas plastik yang terkenal dilaporkan memfailkan kebankrapan di Amerika Syarikat (AS) selepas bertahun-tahun mengalami masalah kewangan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tupperware Brands Corp sedang berusaha menjual perniagaannya sambil meneruskan operasi seperti biasa dan syarikat itu memfailkan kebankrapan di bawah perlindungan Bab 11, di bawah undang-undang kebankrapan AS.
Syarikat yang berpangkalan di Orlando dan diasaskan pada 1946 oleh Earl Tupper pernah menjadi simbol kemakmuran selepas Perang Dunia Kedua, terkenal dengan mangkuk dan bekas dapurnya yang inovatif.
Bagaimanapun, Tupperware kini berdepan cabaran besar termasuk persaingan sengit dalam pasaran barangan rumah dan lonjakan jualan dalam talian yang menjejaskan kedudukannya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Cara Mudah Tanggalkan Kesan Minyak Pada Bekas Plastik, Guna Garam Sabun Je. Simple Menjimatkan!
Nak Pastikan Bekas Plastik & Bekas Bekalan Anak Harum Tanpa Bau Busuk, Ikut Cara Ni!
Hilangkan Kesan Gam Sticker Pada Bekas Plastik, Tak Susah Pun Kalau Ikut Trik Ni!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.