Seringkali terdengar kisah orang memberi hutang perit sungguh untuk menuntut semula wang yang diberikan. Ada yang hilang entah ke mana selepas mendapat wang, ada juga memberi pelbagai alasan bila diminta membayar. Ada juga yang putus sahabat dan saudara akibat tidak membayar hutang.
Meski boleh lari dari pembayar hutang di dunia hakikatnya dosa tidak membayar hutang ini sangat besar. Menurut Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, ia tidak akan diampun walaupun yang berhutang itu mati syahid.
Ujar Ustaz Habib Ali, dalam al-Quran memperincikan soal hutang ini. Perkara utama dalam pemberian hutang ialah, ianya harus dicatit atau dituliskan agar kedua-duanya tidak lupa dan mematuhi sebarang syarat yang ditulis.
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu melakukan hutang-piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya,” (al-Baqarah: 282)
“Semua harus dicatit kerana tanggungjawabnya adalah berat. Ada kata pepatah mengatakan, “Hutang ini akan menyebabkan yang berhutang rasa malu di siang hari kerana malu nak berjumpa dengan pemberi hutang disebabkan belum bayar hutang, dan bikin pening di waktu malam kerana runsing memikirkan cara nak bayar hutang,” ulasnya.
Tambahnya kita tidak berhutang kecuali dalam keadaan darurat. Jangan jadi seperti sebahagian orang yang berhutang sebagai kenikmatan, berfoya-foya dengan hutang; dengan duit orang tanpa memikirkan risikonya.
Nabi SAW pernah bersabda, “Barang siapa yang meninggal dunia dan meninggalkan harta, maka hartanya adalah untuk ahli warisnya”
“Islam ingin menunjukkan bahawa tanggungjawab membayar hutang itu adalah wajib, jangan sampai meninggal dunia. Selagi ada hak yang belum tertunaikan, melainkan dalam keadaan darurat.
“Atas sebab ini lah, segala hutang perlu dicatit supaya ahli waris terdekat sebelum menikmati harta peninggalan, mereka perlu berikan dahulu hak orang lain yang telah memberi hutang kepada si mati. Kalau tak boleh dicatit, maka didatangkan orang yang pandai untuk mancatit (merekodkan)
Ada satu kisah di mana, Rasulullah SAW bertanyakan tentang hal jenazah yang akan disolatkan.
“Dia (si mati) masih ada hutang?”, tanya Nabi SAW
“Ada wahai Rasulullah,” jawab seorang lelaki
“Kalau begitu, kamu sahaja yang solat,” balas Nabi SAW
Demikian betapa seriusnya Baginda Rasulullah mengambil berat tentang hak orang dalam hutang-piutang. Nabi enggan untuk bersolat kepadanya kerana solat nabi SAW adalah memberikan syafaat kepada orang yang disolatkan oleh Nabi SAW.
Maka seorang sahabat bernama Qatadah r.a berkata,”Ya Rasulullah, saya jamin hutangnya, iaitu sebagai penjamin,”. Maka Nabi pun solat. Sebab apa? Sebab ada penjamin. Jadi orang yang memberi hutang boleh tuntut kepada penjaminnya.
Maka setiap kali Baginda berjumpa Qatadah dan bertanya sudahkah dia membayar hutang si mati dahulu, lalu menjawab Qatadah, dia belum membayarnya, maka setiap kali itu jugalah Qatadah memberi jawapan serupa apabila ditanya.
Sampai pada akhirnya, dia mampu membayar semua hutang, maka dibayarkannya hutang tersebut.
Maka ditanya oleh Nabi Saw, “Engkau sudah bayar hutangnya?
“Sudah ya Rasulullah, baharu sahaja aku bayar hutangnya,” jawab Qatadah.
Kata Nabi, “Jika begitu baharu sahaja urusan si mati tadi selesai juga,”
Dari kisah ini maka peringatan kepada yang berhutang bersegeralah melunaskannya. Dosa orang berhutang yang sengaja mengelak membayar hutang tidak diampunkan oleh Allah walaupun dia mati syahid.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.