KLUANG – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengingatkan Pas agar tidak menjadikan demokrasi sebagai sesuatu yang ‘olok-olok’ berhubung tindakan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan.
Menurutnya, mandat rakyat juga tidak wajar dipandang remeh susulan kenyataan pemimpin Pas yang disifatkan tidak serius mencabar Anwar.
“Kalau kita buat dalam medan perjuangan Dewan Rakyat ataupun proses pilihan raya yakni dalam proses menghormati sistem pengundian itu sendiri, ia bukanlah sesuatu yang ‘olok-olok’.
“Jadi kita ambil serius mandat rakyat. Kita ambil serius undi dan sekarang ini usaha untuk meraih sokongan daripada rakyat.
“Justeru, saya berharap dalam apa yang kita lakukan kerana itulah undi yang telah diberikan. Dalam sidang Parlimen sendiri memberi sepenuh keyakinan dan mandat kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat,” katanya ketika ditemui pemberita ketika program ziarah kasih di Taman Ilham, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menyifatkan Anwar tidak sepatutnya melenting apabila diberi tekanan dan desakan supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Tuan Ibrahim juga mendakwa Anwar berada dalam ketakutan jika pembangkang mencabar kedudukannya sebagai Perdana Menteri menerusi undi tidak percaya.
Ia susulan Anwar mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Cabaran itu dibuat sebagai respons terhadap usul yang dibawa Dewan Pemuda Pas dalam muktamar parti itu baru-baru ini yang mendesak Anwar meletak jawatan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.