SHAH ALAM – Pas kesal dengan tindakan kerajaan Melaka yang memecat dan menukar pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana memaparkan wajah Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam paparan slaid khutbah Jumaat di negeri itu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, tindakan berkenaan memberi gambaran akan ketakutan kerajaan Melaka dengan kebangkitan Pas dan ia dilihat tidak munasabah.
“Malahan bukanlah satu kesalahan besar jika diteliti apabila pegawai tersebut memaparkan imej pemimpin politik yang tepat dan bersesuaian dengan ayat berbunyi ‘keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia’.
“Jika paparan pemimpin yang korup, pernah dituduh rasuah atau mempunyai kes jenayah, itu sebenarnya yang salah. Dijadikan kesalahan kerana gambar terbabit adalah gambar Presiden Pas, jika presiden parti lain yang bersama kerajaan, pasti tidak menjadi kesalahan dan akan dipertahankan,” dakwanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini empat pegawai termasuk seorang Ketua Penolong Pengarah di (JAIM) dilapor sudah dikenakan tindakan tatatertib susulan kecuaian memasukkan gambar pemimpin politik pembangkang dalam paparan video khutbah Jumaat di negeri itu pada minggu lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan termasuk memecat dan menukar jawatan itu diambil berikutan kecuaian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri terbabit.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berharap pegawai yang dikenakan tindakan tersebut bersabar di atas mehnah yang menimpa mereka.
“Anda tidak melakukan satu dosa besar seperti mana ramai pelaku salah seperti perasuah, salah guna kuasa dan pelbagai maksiat yang tidak rasa berdosa dan menyesal, bahkan terus gembira meneruskan kehidupan mereka.
“Teruskan laksana amanah ilmu dengan baik dan sempurna. Sabar dalam mentaati perintah ALLAH SWT lebih baik daripada hidup yang menderhakai dan berbuat maksiat kepada-NYA,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.