TIDAK semua orang beruntung apabila didedahkan dengan al-Quran dan mampu mempelajarinya serta mengaji dengan baik sejak kecil lagi.
Ada yang tidak pandai membacanya lantaran kekangan tertentu. Hanya mampu menghafaz surah-surah wajib dan lazim untuk dibaca ketika dalam solat.
Barangkali terdapat segelintir orang datang daripada keluarga yang kurang menitiberatkan soal itu, tetapi apabila kesedaran mula timbul, barulah diri berjinak-jinak untuk mempelajari kalam ALLAH tersebut.
Benarkah seseorang tidak boleh masuk ke syurga andai tidak pandai baca al-Quran?
Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, tiada ulama yang menyatakan sedemikian, sebaliknya beliau mengajak kita untuk mendasari sebab al-Quran itu diturunkan.
ALLAH SWT berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Radaman yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah: 185)
Melihat nas itu, ujar penceramah tersebut, jelaslah bahawa kalamullah diturunkan untuk menjadi petunjuk kepada manusia dalam melayari kehidupan di muka bumi ini.
“Tunjuk ini halal, itu haram; ini betul, itu salah; ini sah dan itu batal; ini syurga dan itu neraka.
“Bila tunjuk, kita kena ikut. Bukan sekadar tunjuk atau ‘like’ (tanda suka) sahaja, kena ikut, barulah dapat syurga. Dengan baca (al-Quran) sahaja, belum (tentu) lagi (masuk syurga),” katanya menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.
Benar, dengan membaca al-Quran kita akan beroleh pahala mengalunkannya, tetapi jelas Ustaz Azhar, jika segala isi kandungannya dipatuhi barulah syurga ALLAH boleh diraih.
“Bagaimanapun, kalau pandai baca (al-Quran), tapi tak ikut yang mana halal dia ambil dan yang haram juga dibuat juga, maka al-Quran akan melaknatnya.
“Ini kerana dia hanya membacanya (al-Quran) sahaja, tapi hukumnya dia tak ikut. Umpamanya, dia baca kisah (kaum) Nabi Luth (yang diazab ALLAH akibat maksiat dilakukan), tapi dia sendiri mengamalkan perlakuan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Begitu juga jika dia baca al-Quran, sibuk dengan lagu atau taranum sahaja, sedangkan sejengkal demi sejengkal bumi umat Islam dirampas oleh kafir harbi (golongan bukan Islam yang memerangi Muslim dan tiada perjanjian damai dengan mereka) kerana dirinya tidak mengamalkan al-Quran, hanya sekadar melagukannya sahaja,” hurainya panjang lebar.
Situasi itu kata Ustaz Azhar, ia sama seperti orang membaca ayat al-Quran yang menyuruh wanita untuk menutup aurat dengan sempurna dan mengelakkan riba, tetapi dirinya tetap melakukan.
“Perbuatan itu tak betul,” tegasnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.