5 Salah Faham Tentang Solat Istikharah Yang Perlu Kita Betulkan

Bila keliru dalam membuat sesuatu keputusan ramai yang mengamalkan solat istikharah. Dan sememangnya kita disarankan berbuat demikian.

Namun selepas melakukan solat ini ramai yang tertanya-tanya mengapa tidak mendapat ‘mimpi’ atau isyarat sebagai hasil melakukan solat istikharah.

Menurut Dr Kamilin Jamilin yang juga  Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, ini sebenarnya antara salah faham tentang istikharah yang banyak berlaku dalam kalangan kita. Malah katanya ada beberapa lagi yang perlu dibetulkan.

Berikut adalah lima salah faham tentang solat istikharah yang dikongsi oleh beliau bersama penjelasannya untuk kita fahami dan perbetulkan.

  1. Tidak memahami makna istikharah

Istikharah itu maknanya meminta khiarah, yakni meminta apa yang baik bagi kita dan menghindarkan yang tak baik.

Jadi jangan pula kita berdoa dengan doa yang bercanggah dengan maksud istikharah. Misalnya kita sudah menetapkan awal-awal lagi dengan pilihan kita.

Kita anggap itulah pilihan yang baik bagi kita tanpa menyerahkan urusan itu kepada Allah. Ini bermakna kita tidak meminta Allah pilihkan untuk kita kerana kita sudah tetapkan pilihan dan hanya minta Allah mudahkan pilihan kita. Itu bukan maksud istikharah.

  1. Terus berdoa, tanpa solat sunat dua rakaat

Bila melakukan solat istikharah ramai yang terus berdoa. Sedangkan Nabi Muhammad saw mengajar kita solat sunat dua rakaat terlebih dahulu. Ia untuk membina hubungan kita dengan Allah melalui ibadah yang Allah paling suka, kemudian barulah diikuti dengan istikharah.

  1. Hanya lakukan istikharah untuk buat keputusan besar

Ramai yang ingat solat istikharah hanya dilakukan bila perlu membuat keputusan besar dalam kehidupan seperti perkahwinan, pilihan kerja dan sebagainya.

Sedangkan Nabi Muhammad mengajar tentang solat ini dalam setiap urusan kehidupan, urusan yang merunsingkan dan dalam kita membuat pilihan yang tak pasti.

  1. Tunggu mimpi sebagai petunjuk

Ini salah faham paling biasa. Tak semestinya petunjuk itu datang melalui mimpi. Ini kerana istikharah itu kita minta pertolongan Allah dalam membuat pilihan.

Supaya Allah berikan yang terbaik buat kita dan hindarkan yang tidak baik. Selepas buat istikharah kita boleh saja bertanya kepada orang sekeliling, membuat kajian sendiri dan kita fikirkan.

Apabila kita ambil keputusan selepas istikharah itu, kita buat keputusan selepas berserah diri kepada Allah, selepas kita mengiktiraf kelemahan kita kepada Allah.

Petunjuk tak semestinya melalui mimpi atau isyarat. Kita mohon Allah bantu kita dalam pilihan kita, beri kemudahan dan ketenangan dalam pilihan yang kita buat.

  1. Tidak membaca doa istikharah

Sedangkan doa ini diajarkan oleh Nabi Muhammad dalam al Quran. Ini kerana doa istikharah ini sangat ‘powerfull’ maknanya. Dalam doa itu kita mula dengan memuji Allah, mengakui kelemahan kita. Dalam doa itu kita utamakan agama dulu barulah dunia. Bila baik untuk agama kita maka baiklah untuk dunia.

Rasulullah SAW kerap mengajar doa ini sebagaimana Baginda mengajar ayat-ayat al-Quran (Rekod Imam Al-Bukhari).

Doa Istikharah

Maksudnya

Ya Allah, aku memohon agar memilih mana yang baik menurut Engkau ya Allah.

Aku juga memohon diberikan kepastian dengan ketentuanMu dan aku memohon dengan kemurahanMu Tuhan yang Maha Agung.

Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Berkuasa, sedangkan aku tidak tahu. Engkau Tuhan yang amat mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.

Ya Allah! Jika menurut pendapatMu urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi kebaikan bagiku untuk agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku, maka takdirkanlah ia bagiku dan berkatilah ia padaku.

Jika menurut pengetahuanMu bahawa urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi keburukan bagiku untuk agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku, maka ku mohon agar Engkau jauhkan ia daripadaku dan kurniakanlah bagiku hanya kebaikan di mana sahaja aku berada.

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply