Abdul Hadi ke Iran bertemu pemimpin gerakan Islam Sunni, Syiah

Abdul Hadi berpeluang memberikan ucaptama semasa di Muktamar Penyatuan Islam Sedunia kali ke-38. Foto Facebook Abdul Hadi Awang.

SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkesempatan bertemu pemimpin gerakan Islam dan ulama yang mewakili kelompok Sunni serta Syiah dari pelbagai negara.

Beliau berkata, ia bersempena Mesyuarat Majlis Tertinggi Majma’ Taqrib Mazahib di bawah kepimpinan Syeikh Dr Abdul Hamid Al-Shahriari.

“Saya juga diberikan penghormatan menghadiri majlis bersama Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatollah Imam Khamenei.

“Dalam kesempatan sama, saya turut bertemu rakan-rakan pemimpin gerakan Islam dan ulama yang mewakili kelompok Sunni dan Syiah dari Palestin, Iran, Arab Saudi, Turkiye, Rusia, Lubnan, Pakistan, India dan Afghanistan, di samping memenuhi undangan temu ramah dengan beberapa agensi berita antarabangsa.

“Semoga usaha penyatuan ini akan menatijahkan kejayaan yang lebih besar kepada dunia Islam dan perjuangan Palestin, berpaksikan kepada tonggak keadilan, keamanan dan perpaduan yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebagai jalan penyelesaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Abdul Hadi sebelum itu berangkat ke Iran bagi menghadiri Muktamar Penyatuan Islam Sedunia Kali Ke-38 anjuran Majma’ Taqrib Mazahib yang berlangsung pada 19 hingga 21 September di Tehran.

Beliau berkata, majlis perasmian muktamar telah disempurnakan oleh Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian yang menekankan perlunya umat Islam menghayati perjuangan Rasullullah SAW yang membawa mesej perpaduan dan keamanan, khususnya dalam suasana umat Islam yang sangat mencabar hari ini.

Abdul Hadi turut diberikan peluang untuk menyampaikan ucaptama dalam persidangan bertemakan ‘Kerjasama Islam ke Arah Mencapai Nilai Kebersamaan bagi Mempertahankan Al-Aqsa’.

“Kami juga memberikan pandangan terhadap ketegasan dunia Islam dalam mempertahankan Palestin melangkaui perbezaan mazhab dan asabiyah perkauman, seterusnya menggembleng kerjasama dalam kalangan ulama untuk membangkitkan kesedaran umat Islam,” tambahnya lagi.

Abdul Hadi memaklumkan destinasi muktamar tersebut bakal dilaksanakan di Istanbul, Turkiye.

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kesihatan untuk saya menjalankan misi ummah ini,” katanya ringkas.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply