Cantik dan Lebih Sopan, Lana Nordin Bahagia Dengan Cara Hidup Sekarang

Semakin cantik dan sopan dengan penampilan terkini, pelakon wanita, Lana Nordin kini jadi perhatian ramai selepas berhijrah kepada fasa yang lebih ‘manis’ dipandang.

Lana Nordin Bahagia Dengan Cara Hidup Sekarang

Menurut perkongsiannya di ruangan hiburan Kosmo!, dia kini lebih bahagia apabila suaminya yang juga pemain bola tampar Amerika Syarikat, David McKienzie semakin mendalami agama Islam.

Apa yang menarik dikongsikan Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nordin, 42, selepas sembilan tahun berkahwin, suaminya sangat disiplin dalam ibadah solat termasuk tidak pernah meninggalkan solat Jumaat.

Bukan itu sahaja, David juga selalu akan mengejutkan Lana untuk solat subuh walaupun dia sedang berada di luar negara.

“Selama berkahwin perubahan paling ketara dalam diri suami adalah daripada susah solat sekarang menjadi mudah solat.

“Dia juga sangat tepati waktu dan disiplin serta tidak pernah gagal ke masjid untuk solat Jumaat. Jika dia ada pertandingan di luar negara, dia akan hubungi saya untuk memastikan isterinya bangun solat subuh.

“Kami saling mengingatkan antara satu sama lain tentang solat. Pada saya ini adalah kebahagian tetapi saya jarang berkongsi perkara sebegini kerana bimbang penyakit ain,” ujar Lana.

Tambah Lana, suaminya mudah untuk menerima ajaran agama Islam kerana sebelum berkahwin dia pernah menetap di Abu Dhabi, selama tujuh tahun.

Bahkan suaminya kini juga mengikuti kelas mengaji Iqra bersama-sama anak sulungnya.

“Setiap Ahad selama dua jam saya memang jemput ustaz dan ustazah yang merupakan pasangan suami isteri untuk mengajar anak dan suami mengaji bermula daripada Iqra.

“Satu jam mengaji dan satu jam lagi untuk kelas agama. Saya pun tidak sempurna dan pandai, jadi apa sahaja kemusykilan akan ditanya terus jadi suami lebih mudah faham,” kata Lana.

Suami Banyak Berubah Ke Arah Kebaikan

Selain itu kata Lana, anak sulungnya, Gua Quinn, 9, juga sudah melakukan ibadah solat cukup lima waktu.

“Alhamdulillah, sekarang anak saya cukup solat lima waktu dan akan marah jika tidak solat berjemaah bersama daddy.

“Sekarang saya dalam proses mengajar suami menjadi imam dalam solat. Walaupun hanya pandai baca surah al-Fatiha dan tidak tahu surah-surah lain pada saya itu sudah memadai.

“Saya gembira dengan perubahan dia sebab cabaran paling besar untuk saya adalah membimbing suami sebab saya sendiri tidak sempurna dan masih banyak yang perlu dipelajari,” tutur Lana yang kini sibuk dengan perniagaan makanannya, Lana’s Bakery Land.

Untuk rekod, Lana dan David atau nama Islamnya, Mohd. Daud mendirikan rumah tangga pada 15 Mei 2015 dan suaminya itu memeluk Islam setahun sebelum mereka berkahwin.

Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Gia Quinn McKienzie, 9 , dan William Daud McKienzie, 6.

Kredit gambar: Lana Nordin


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply