Sistem Simpanan Kristal Boleh Menyimpan 360TB Data Selama 1 Bilion Tahun Dibangunkan

Filem, kertas akbar bercetak, cakera keras dan cakera optik kesemuanya ialah medium simpanan maklumat yang lazim digunakan. Tetapi kesemua medium ini mempunyai jangka hayat yang tidak kekal selama-lamanya. Penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Optoelektronik (ORC) Universiti Southampton telah berjaya menyimpan keseluruhan genom manusia pada sistem simpanan kristal yang dikatakan boleh bertahan sehingga 1 bilion tahun.

Genom manusia mengandungi lebih 3 bilion aksara huruf disimpan pada permukaan kristal yang berbentuk cakera lutsinar. Data disimpan menggunakan teknik pengkodan lima dimensi dengan dua data disimpan secara dua dimensi dan tiga lagi dalam bentuk koordinat spatial. Laser digunakan untuk menulis aksara sekecil 20 nanometer pada permukaan kristal.

Selain mampu bertahan selama 1 bilion tahun, kristal khusus ini juga telah diuji untuk bertahan di bawah suhu sejuk melampau, kepanasan sehingga 1000 °C, tahan tekanan sehingga 10 tan/cm2 dan pendedahan kepada radiasi kosmik. Secara keseluruhan sistem simpanan berasaskan kristal ini boleh menyimpan data sehingga 360TB.

Selain genom manusia yang lengkap, kristal yang sama mengandungi cara bagaimana data boleh dibaca oleh generasi depan ataupun makhluk asing. Terdapat maklumat mengenai empat unsur sejagat iaitu hidrogen, oksigen, karbon dan nitrogen serta empat asas molekul DNA iaitu adenina, sitosina, guanina dan timina. Terdapat juga lakaran gambar DNA dalam bentuk helix berganda.

Kristal ini telah disimpan di arkib Memory of Mankind yang terletak di dalam sebuah gua garam di Hallstatt, Austria sebagai sebuah kapsul masa untuk tatapan generasi masa depan.


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply