Kebanyakan wanita yang hendak bersalin menghadapi kontraksi sehingga sukar untuk bergerak dan melaksanakan ibadah.
Maka timbul persoalan, bagaimana cara solat yang sesuai bagi wanita dalam keadaan ini dan adakah mereka mendapat keringanan (rukhsah) sama ada jamak atau qasar dalam menunaikan solat fardu? Berikut adalah penjelasan yang dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Tetap wajib solat mengikut kemampuan
Ibu yang sakit bersalin masih tetap wajib untuk melaksanakan solat seperti biasa mengikut kemampuan. Berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.” (Riwayat al-Bukhari)
Sekiranya seseorang wanita hendak bersalin tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak bersalin maka:
- Wanita hamil tersebut solat mengikut kemampuannya iaitu sama ada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata.
- Jika wanita yang mengalami kontraksi yang kuat ini sehingga tak mampu bergerak dan sukar untuk mendirikan solat pada setiap waktu akibat menahan sakit bersalin, maka wanita diberikan pilihan untuk melakukan solat secara jamak sama ada secara taqdim atau ta’khir.
- Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqada solatnya itu kelak.
- Wanita dalam keadaan kontraksi tidak diharuskan mengqasarkan solat dalam keadaan sakit, melainkan ia berada dalam keadaan musafir.
Wajib solat sehinggalah…
Kewajipan solat ke atas wanita hendak bersalin tetap ada meskipun ini terdapat tanda-tanda awal kelahiran tetapi belum tiba saat untuk melahirkan seperti:
- Keluar air ketuban (najis dan membatalkan wuduk), sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya seperti keadaan wanita yang mengalami istihadah.
- Keluar darah disebabkan sakit hendak bersalin dan tidak bersambung dengan darah haid sebelumnya (istihadah)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.