Bagi pemilik Perodua Ativa, Alza, Myvi, dan Axia yang menggunakan sistem transmisi D-CVT (Dual-mode Continuously Variable Transmission), masalah gearbox sering menjadi kebimbangan.
Antara isu yang kerap dialami pengguna ialah rasa ‘sentap’ ketika memasukkan gear. Bayangkan anda pada waktu pagi nak pergi kerja tiba-tiba bila nak masuk ke gear D ada rasa sentakan yang kuat.
Selain rasa hentakan ke depan, bunyi kasar juga sering kedengaran, membuatkan anda bukan sahaja risau malah tidak selesa.
Walaupun ramai beranggapan masalah ini berpunca daripada kerosakan gearbox, sebenarnya ia berkait rapat dengan tabiat parkir yang salah.
Kebanyakan pemandu tanpa sedar meletakkan tekanan yang tidak perlu ke atas sistem gearbox ketika parkir, lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan berbukit atau cerun.
Kesilapan Lazim Ketika Parkir Kereta
Kebiasaannya, ramai pemandu akan terus menukar gear ke posisi ‘P’ sebaik sahaja sampai ke tempat parkir, diikuti dengan menarik brek tangan (handbrake).
Walaupun nampak seperti langkah yang biasa dan betul, cara ini sebenarnya menyebabkan bebanan berlebihan pada sistem gearbox.
Gearbox D-CVT kereta anda terpaksa menahan berat kereta, terutamanya jika parkir di kawasan yang tidak rata. Inilah yang menjadi punca kepada rasa ‘sentap’ dan bunyi kasar apabila gear ditukar pada waktu pagi.
Perkara ini pernah dikongsikan oleh akaun TikTok pusat servis kereta, @altimatautogarage yang berkata masalah ini sangat biasa dilakukan oleh pemilik Ativa, Alza dan MyVi tanpa sedar.
Cara Parkir & Tukar Gear Dengan Betul
Untuk mengelakkan sebarang masalah di masa akan datang pada gearbox D-CVT, terdapat satu kaedah yang lebih baik dan mesra gearbox yang patut diamalkan oleh semua pemandu:
- Kekalkan Gear di Posisi D atau R – Sebaik sahaja sampai ke kawasan parkir, kekalkan gear dalam posisi ‘D’ (Drive) atau ‘R’ (Reverse).
- Tukar Gear ke ‘N’ (Neutral) – Sebelum menarik handbrake, tukarkan gear ke posisi ‘N’. Ini penting untuk mengalihkan beban kereta daripada sistem gearbox.
- Tarik Handbrake – Selepas gear berada di posisi ‘N’, barulah anda menarik handbrake. Ini akan memastikan kereta anda distabilkan oleh sistem brek, bukan gearbox.
- Tukar Gear ke ‘P’ (Park) – Selepas memastikan brek tangan ditarik dengan kemas, barulah anda menukar gear ke posisi ‘P’. Dengan langkah ini, beban kereta tidak akan ditanggung oleh sistem gearbox, sebaliknya oleh brek kereta.
Kenapa Penting Untuk Amalkan Cara Ini?
Dengan mengamalkan cara parkir yang betul, anda bukan sahaja dapat mengelakkan rasa ‘sentap’ dan bunyi kasar ketika menukar gear, malah dapat memanjangkan jangka hayat gearbox kereta anda.
Masalah yang sering dialami pengguna Perodua Ativa, Alza, Myvi, dan Axia ini bukanlah berpunca daripada kecacatan teknikal, tetapi daripada tabiat memandu yang kurang tepat.
BACA: Jersi Bola Sepak Kini Menjadi Item Fesyen Gaya Hidup Trendy
Selain itu, cara ini juga amat penting jika anda sering parkir di kawasan berbukit atau cerun.
Bebanan yang ditanggung oleh gearbox ketika parkir di kawasan seperti ini boleh merosakkan komponen dalaman gearbox, yang akhirnya membawa kepada kos pembaikan yang tinggi.
Ingatlah pemilik kereta yang menggunakan sistem D-CVT, menjaga gearbox adalah penting untuk memastikan kereta sentiasa dalam keadaan terbaik.
Dengan hanya mengubah tabiat cara parkir, anda boleh mengelakkan masalah gearbox yang biasa dialami.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.