‘Nak ambil periksa atau nak tidur lokap’

Azizi memberikan peringatan dan nasihat ke atas individu yang ditahan bagi tujuan pemeriksaan dalam Op Samseng Jalanan pada Ahad.

IPOH – “Esok kamu nak ambil peperiksaan, tak kan nak tidur lokap malam ini.” Itu antara peringatan diberikan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ke atas 22 pelajar Tingkatan Lima yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Klebang Ria dekat Taman Klebang Ria di sini pada Ahad.

Kesemua remaja lelaki berusia 17 tahun itu sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan ini termasuk Ujian Tilawah al-Quran dan Hafazan dan Hadis (UTQH) yang dijadualkan pada Isnin.

Azizi berkata, semasa operasi dijalankan, kumpulan remaja terbabit dikesan berkumpul menyaksikan aksi perlumbaan yang dipertontonkan samseng jalanan.

Azizi ketika membuat pemeriksaan ke atas sebuah motosikal yang ditahan atas kesalahan ubah suai ekzos.

“Pada peringkat permulaan, mungkin mereka anggap menonton perlumbaan haram ini sebagai hobi.

“Dikhuatiri sekiranya tiada peringatan dan tindakan, aksi-aksi yang dilihat akan dijadikan tabiat dan tingkah laku berani apabila mereka berada di atas jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Operasi bersepadu bermula jam 6 petang itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dalam operasi itu, seramai 136 individu termasuk enam wanita berusia antara 45 hingga 12 tahun telah diperiksa membabitkan 101 motosikal dan daripada jumlah itu, 69 daripada mereka merupakan pelajar sekolah.

Semua pelajar yang ditahan itu telah dibawa ke Balai Polis Kampung Tawas untuk pemeriksaan sebelum dilepaskan.

Azizi berkata, pelajar berkenaan akan dirujuk kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) masing-masing yang merupakan kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita akan maklumkan kepada pihak sekolah dan ibu bapa pelajar terlibat supaya menasihati mereka agar tidak terjebak dengan aktiviti samseng jalanan yang tidak berfaedah.

“Seperti malam ini, di luar (pagar balai polis), ramai ibu bapa yang menunggu kerana ada antara mereka yang ditahan akan menduduki peperiksaan penting,” katanya.

Mereka yang ditahan menolak motosikal masing-masing sejauh hampir 6 kilometer dari lokasi serbuan ke Balai Polis Kampung Tawas.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 168 saman telah dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dan melibatkan ubah suai ekzos.

Katanya, 20 motosikal telah disita dan dua lelaki berusia lingkungan 20 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu.

“JAS turut mengeluarkan 11 notis serta kompaun melibatkan kesalahan kenderaan tidak patuh dan bunyi bising motosikal manakala ujian saringan air kencing dijalankan AADK pula mendapati, dua lelaki berusia lingkungan 20 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

“Dalam operasi ini, seorang anggota polis berpangkat koperal cedera ringan selepas terjatuh dilanggar motosikal yang sedang ditahan untuk diperiksa,” katanya.

Azizi berkata, laluan serbuan merupakan lokasi panas yang sering dijadikan ‘litar lumba’ oleh penunggang motosikal terutama pada hari minggu.

Katanya, polis juga menerima aduan awam yang memaklumkan aktiviti mat rempit di kawasan itu mengundang rasa tidak selesa dan takut kepada pengguna jalan raya lain.

“Semua laluan jalan raya di negeri ini adalah di bawah pemantauan polis.

“Jadi hentikanlah melakukan aksi yang tidak beradab dan tidak patuh kepada lalu lintas ini. Kasihan pada diri sendiri dan keluarga kerana apabila berlaku kemalangan nanti, sudah tidak berguna lagi,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply