Tak perlu tunggu cuti sekolah untuk buat majlis kenduri

Bagi mereka yang sedang merancang untuk membuat kenduri kahwin boleh mula fikir untuk buat majlis pada hari hujung minggu biasa, Sabtu atau Ahad. Gambar hiasan

KALAU dulu, kesesakan jalan raya hanya berlaku ketika musim perayaan atau jika ada cuti hujung minggu yang panjang, namun kini ia seperti sudah berubah 360 darjah.

Ada cuti tiga hari termasuk hujung minggu saja, mesti lebuh raya jadi sesak. Cuti sekolah minggu lalu pakat semua berebut buat kenduri kahwin. Merak Jalanan pun ada dapat jemputan.

Nak bergerak menuju rumah kenduri pun rasa sakit hati sangat sebab terpaksa saing bersama-sama dengan beribu-ribu kenderaan lain yang turut menuju ke destinasi masing-masing sempena cuti sekolah.

Semua kena faham, masa cuti sekolahlah dapat berkumpul dan melakukan aktiviti bersama keluarga.

Tapi bila bercakap mengenai kenduri kahwin ini, rasanya kita dah boleh fikir tidak semestinya buat majlis semasa cuti sekolah sahaja.

Jemputan kenduri yang Merak Jalanan pergi diadakan di sebuah kampung di sebelah utara, rupanya di kampung itu sahaja ada lima majlis yang diadakan serentak pada hari yang sama.

Majlis pula berdekatan antara satu sama lain. Nasib baik Merak Jalanan tengok signboard rumah kenduri betul-betul. Kalau tidak, naya salah masuk rumah kenduri.

Sampai masanya kenduri kahwin juga diadakan pada cuti hujung minggu saja, tak perlu lagi tunggu cuti sekolah.

Seronok nak berkumpul dengan sanak saudara pun jadi kurang. Mana tidaknya, dah penat harung sesak di lebuh raya, sampai kampung pada pagi kenduri.

Jadinya terus makan nasi kenduri kemudian sambung lena. Gambar dengan pengantin pun tiada.

Jadi, bagi mereka yang sedang merancang untuk membuat kenduri kahwin boleh mula fikir untuk buat majlis pada hari hujung minggu biasa, Sabtu atau Ahad.

Tak perlu nak tunggu cuti sekolah. Hujung minggu biasa pun jemputan tentu cuti juga, tetaplah meriah.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply