Selena Gomez, dulu dibuli kini bilionair termuda

Reaksi Selena ketika tiba untuk tayangan filem Emilia Perez di selatan Perancis, pada 18 Mei 2024.

“SEWAKTU saya membesar, saya sering dibuli kerana saya orang luar, gadis pelik dengan rambut berona ungu, malah ibu saya juga mempunyai sejarah hitam sama.”

Dedah selebriti terkenal Hollywood, Selena Gomez dalam satu wawancara bersama New York Times.

Beliau mendedahkan pernah menjadi mangsa buli sewaktu di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Menginjak dewasa, pelantun lagu Love You Like A Love Song mengejutkan ramai peminatnya selepas mengakui menghadapi masalah mental kerana pernah melalui fasa kemurungan dan depresi akibat trauma pada masa lalu.

Selain faktor sering menjadi mangsa kecaman dan buli di media sosial.

Selena semasa remaja.

Tahap kemurungannya bertambah buruk apabila beliau menjadi mangsa kecam badan akibat kenaikan berat badan pada 2023.

Menanggapi perkara itu, Selena berkata, tubuhnya semakin berisi disebabkan kesan sampingan pengambilan ubat penyakit lupus setiap hari.

“Tubuh saya cenderung untuk ‘menyimpan’ air dalam kandungan yang banyak dan ia satu perkara normal untuk mereka yang mengambil ubat lupus. Ketika saya berhenti minum ubat, berat badan saya akan menurun.

“Saya cuma mahu beri semangat buat semua orang yang rasa malu dengan apa juga (masalah) mereka hadapi. Mereka perlu sedar bahawa mereka cantik dan hebat. Memang ada hari-hari di mana kita rasa tak okay,” katanya menerusi sebuah hantaran video yang tular.

Berketurunan Mexico-Itali

Selena Gomez atau pemilik nama sebenar Selena Marie Gomez dilahirkan pada 22 Julai 1992 di Grand Prairie, Texas.

Beliau merupakan anak pasangan Ricardo Joel Gomez dan Mandy Teefey, bapanya berdarah Mexico manakala ibunya berketurunan Itali.

Ibu dan bapanya berpisah ketika beliau berusia lima tahun dan beliau tinggal bersama ibunya.

Selena ketika menghadiri malam gala akademi muzium di Los Angeles.

Tidak menghairankan kehidupan kecilnya penuh dengan liku-liku.

Ketika berusia tujuh tahun, Selena menceburi dunia lakonan apabila menyertai drama bersiri kanak-kanak Barney & Friends (2002-2004).

Status bilionair

Tahun 2024 boleh dikatakan tahun paling gemilang buat Selena apabila beliau diiktiraf bilionair, menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

Menurut laporan Bloomberg, nilai bersih kekayaan selebriti itu mencecah AS$1.3 bilion (RM5.6 bilion).

Sebahagian daripada kekayaan bintang Only Murders in the Building itu diperoleh daripada karier nyanyian, duta jenama dan lakonan.

Bagaimanapun, kekayaan terbesarnya disumbangkan melalui Rare Beauty iaitu produk kosmetik yang diusahakannya sejak lima tahun lalu yang sangat berjaya dalam kalangan pempengaruh dan remaja, lapor Bloomberg lagi.

Selena ketika melancarkan produk baharunya di New York.

Kejayaan jenama itu telah menjadikannya salah seorang ‘wanita termuda hasil kerja keras sendiri’ sebaris dengan selebriti wanita terkenal seperti Taylor Swift dan Rihanna.

Rare Beauty yang terkenal dengan produk pemerah pipi cair dan pewarna bibir turut menjadi tular di media sosial, dilaporkan merekodkan jualan bersih mencecah AS$400 juta (kira-kira RM1.7 bilion) dalam tempoh 12 bulan hingga Februari lalu.

Selena yang pernah putus cinta dengan penyanyi, Justin Bieber juga meraih puluhan juta dolar hasil daripada kerjasama dengan jenama mewah lain seperti Louis Vuitton, Coach serta Puma. – Agensi

INFO

1. Duta paling muda UNICEF USA

Selena pernah menyertai misi menghantar bantuan ke Ghana, Afrika.

Selena dilantik menjadi duta Dana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Kanak-Kanak (UNICEF) ketika usianya 17 tahun.

2. Digelar ‘Ratu Instagram’

Selena pernah digelar sebagai ‘Ratu Instagram’ selepas memiliki jumlah pengikut di laman sosial melebihi penyanyi Taylor Swift.

Malah, setiap perkongsiannya yang melibatkan iklan berharga USD550,000 (RM20 juta).


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply