Pelajar ambil lewa kerana tiada UPSR, PT3

Pada 2021, KPM memansuhkan UPSR bagi murid Tahun Enam dan PT3, namun selepas tiga tahun, timbul pula desakan mengembalikan semula peperiksaan itu. Gambar hiasan

PADA 2021, Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun Enam dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), namun selepas tiga tahun, timbul pula desakan mengembalikan semula peperiksaan itu.

Sebelum ini ibu bapa ada menyuarakan agar UPSR dan PT3 yang digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) serta Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dikembalikan semula.

Mereka bimbang nasib anak mereka seolah-olah menjadi generasi yang tiada hala tuju pasca Covid-19.

Rasionalnya kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berbentuk peperiksaan masih wujud, sekali gus menyukarkan pelajar untuk berdepan situasi peperiksaan sebenar.

Minggu lalu, sebelum sesi cuti persekolahan penggal kedua bermula, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar dasar pendidikan negara yang tidak mewajibkan peperiksaan ke atas pelajar di peringkat dua usia itu perlu dirombak semula.

Cadangan itu antara lain kerana berlaku keciciran kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berpunca daripada masalah membaca, menulis dan mengira (3M).

Jelas isu keciciran pelajar bukan perkara yang boleh dipandang ringan apabila lebih 120,000 murid Tahun Satu bagi sesi 2024/2025 masih gagal menguasai 3M selepas tiga bulan sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP). Mereka perlu mengikuti kelas intervensi selama tiga bulan sebelum kembali ke arus perdana.

Perkara itu turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bersetuju terhadap cadangan untuk mengembalikan semula UPSR.

Ini kerana berlaku penurunan drastik terhadap pencapaian murid sekolah rendah dalam Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa disebabkan tiadanya peperiksaan berpusat, ada segelintir murid dan pelajar tidak mengambil serius mengenai prestasi akademik sehingga belajar sambil lewa.

Kalau di era 1980-an dan 1990-an dahulu, masing-masing berdebar-debar untuk menduduki UPSR dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang kemudian digantikan dengan PT3.

Itu akan menentukan perjalanan murid, sama ada akan meneruskan persekolahan di sekolah biasa atau sekolah berasrama penuh. Apabila ada peperiksaan, barulah pelajar ada matlamat dan fokus untuk mengejar kecemerlangan dalam pelajaran.

Jika diamati, senario mengenai Dasar Pendidikan Negara kerap berubah mengikut kepada pertukaran kepimpinan di peringkat nasional dan kementerian yang secara tidak langsung menjadikan murid, ibu bapa serta guru mangsa keadaan itu apabila jutaan murid yang terlibat berisiko untuk ketinggalan.

Misalnya, ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mula dilaksanakan di seluruh negara pada 2008.

Namun selepas empat tahun ia dimansuhkan secara berperingkat pada 2012 selepas mendapat kecaman beberapa pihak termasuk parti politik, ibu bapa dan juga cendekiawan.

Pada 2016 pula, KPM mencadangkan pemansuhan UPSR ketika zaman Barisan Nasional (BN) dan akhirnya dimansuhkan pada 2021 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Keadaan ini telah melahirkan kebimbangan ramai apabila murid-murid dilihat seolah-olah menjadi ‘tikus makmal’ dengan dasar-dasar yang berubah.

Bahkan, Ahmad Zahid dan Dr Asyraf Wajdi turut sependapat bahawa pelajar tidak wajar dijadikan bahan uji kaji yang boleh diperlakukan sesuka hati dalam merangka dasar dan acuan pendidikan negara, sebaliknya sistem pendidikan seharusnya terus kekal walaupun kerajaan atau menteri bertukar, agar anak-anak tidak menjadi mangsa.

Justeru, harapan penulis agar apa pun keputusan yang diambil, seharusnya dilakukan secara holistik agar pembangunan modal insan negara terus cemerlang dan terbilang.

* Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Harian


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply