Yakin pengundi Cina bijak menilai propaganda kempen – Wan Rosdy

Wan Rosy (tengah) ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Bentong Luar di sini, pada Ahad.

KLUANG – Propaganda menerusi sebaran surat layang yang menghasut pengundi Cina memboikot calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Mahkota diyakini tidak akan menjejaskan sokongan terhadap calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketokohan dan kewibawaan Syed Hussien sendiri menjadi kekuatan untuk dalam menangkis sebarang bentuk serangan menjelang hari pengundian 28 September ini.

“Jadi kita percaya dan yakin pengundi-pengundi akan dapat menilai kerana UMNO ini bukan sebuah parti yang baru dan mereka boleh menilai begitu juga dengan pemimpin UMNO.

“Bahkan melalui calon kita (Syed Hussien). Boleh tengok calon kita, seorang anak muda bertokoh, berpelajaran dan diterima oleh sebahagian besar pengundi di sini (Mahkota) dan beliau juga sangat disenangi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Bentong Luar di sini, pada Ahad.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mendedahkan surat layang yang diedar di perumahan pengundi Cina.

Dalam terjemahan surat layang berkenaan, pengundi Cina digesa supaya tidak undi BN dalam PRK DUN Mahkota sebagai memberi pengajaran kepada UMNO yang didakwa sombong sekali gus untuk semak dan imbang dalam kerajaan Johor.

Sehubungan itu, Shu Qi yang juga ahli DAP meminta penyebar surat layang berkenaan menghentikan taktik kotor berkenaan kerana bercanggah dengan konsep demokrasi yang harus didukung.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menyifatkan isu surat layang adalah perkara lumrah dalam mana-mana kempen pilihan raya.

“Sebenarnya surat layang ini sesiapa boleh buat tuduhan dan tohmahan tapi kita jangan percayalah. Ini (surat layang) adalah propaganda semasa kita berkempen namun apa yang penting hakikatnya UMNO tidak begitu (sombong seperti didakwa)…UMNO adalah parti yang turun ke bawah ke akar umbi untuk membantu rakyat.

“Kalau perkara itu betul, mengapa harus dibuat surat layang? Cakaplah cara terbuka, ini mereka hanya ingin menonjolkan persepsi supaya ada sentimen pengundi kepada calon BN dan ini taktik lama mereka,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply