Kon Yeow berundur selepas 25 tahun terajui DAP Pulau Pinang

Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berharap kepimpinan baharu yang akan menerajui parti negeri selepas ini akan kekal bersatu, seterusnya meletakkan kepentingan parti dan rakyat melebihi kepentingan peribadi.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menggesa ahli parti untuk terus bekerja keras dan kekal setia kepada perjuangan parti.

Menurutnya, semua ahli mesti terus berusaha dengan dedikasi dan memberi komitmen berpandukan kepada visi dan misi parti serta menghormati rakyat.

“Hari ini saya akan menyerahkan ‘baton’ kepada seorang pemimpin dan pasukan baharu yang dipilih oleh para perwakilan untuk memimpin DAP Pulau Pinang ke masa depan.

“Apabila anda mengundi hari ini, anda mengundi untuk masa depan parti agar terus relevan sebagai pilihan utama untuk memimpin kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di sini, pada Ahad.

Kon Yeow berkata, ucapan berkenaan adalah yang terakhirnya sebagai Pengerusi DAP selepas 25 tahun menerajui parti itu di Pulau Pinang.

Mengimbau perjalanan sebagai pemimpin utama DAP, Kon Yeow berkata, pelantikan itu berlaku selepas kekalahan Tan Sri Lim Kit Siang dan mendiang Tan Sri Karpal Singh pada Pilihan Raya Umum 1999.

Kon Yeow menerima jambangan bunga sebagai tanda penghargaan selepas 25 tahun menerajui DAP Pulau Pinang

“Ketika itu, saya berusia 41 tahun dan tanggungjawab meneruskan perjuangan politik DAP diletakkan di bahu saya dan pasukan,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada parti dan para perwakilan yang telah memberikan sokongan kepadanya selama lebih dua dekad.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, DAP Pulau Pinang menyaksikan perkembangan pesat dengan pertambahan cawangan daripada 20 kepada hampir 300 serta peningkatan sokongan rakyat yang membolehkan parti terus memimpin kerajaan negeri bersama rakan gabungan selama empat penggal berturut-turut.

Pada 5 Ogos lalu, Kon Yeow mengumumkan untuk tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan menarik diri daripada pemilihan parti dalam Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang pada hari ini.

Jelasnya, keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu dalam melaksanakan rancangan penggantian kepimpinan negeri.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply