POKOK SENA – Isu banjir tidak sewajarnya dipolitikkan untuk meraih laba politik oleh pihak-pihak tertentu kerana ia berlaku di luar kawalan.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, musibah banjir yang berlaku seharusnya menjadi medan untuk semua pihak saling membantu meringankan beban mangsa banjir, bukannya menuding jari mencari kesalahan pihak lain.
Menurutnya, ketiadaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika banjir melanda negeri ini tidak sewajarnya dipolemikkan dan dijadikan isu politik.
“Tak perlu politikkan isu banjir, sepatutnya jadikanlah musibah banjir medan untuk kita memberi khidmat dan tolong menolong. Pakat-pakat buat pahala, jangan buat dosa atas banjir yang melanda. Tidak ada untung apa pun,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pas Kawasan Pokok Sena, pada Ahad.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas ketiadaan Muhammad Sanusi di negeri ini ketika musibah banjir mula melanda Kedah pada Isnin.
Isu berkenaan menjadi antara topik hangat oleh netizen di media sosial apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini pada Sabtu.
Ketiadaan Muhammad Sanusi adalah disebabkan delegasi kerajaan negeri diketuai beliau berangkat ke Jepun pada 17 September sebelum banjir teruk melanda Kedah.
Kunjungan ke Kumamoto City itu adalah bagi mempelajari pengurusan operasi takungan bawah tanah yang akan dilaksanakan di Langkawi bagi memenuhi keperluan pengguna.
Dalam pada itu, Ahmad tegaskan, isu berkenaan tidak sewajarnya dijadikan bahan kempen politik oleh mana-mana pihak sekalipun.
“Bencana ini bukan untuk kepentingan politik, apabila berlaku musibah, ini adalah ruang terbaik untuk saling bantu-membantu. Bila air naik, kalau MB (menteri besar) ada pun, air naik juga. Waktu Perdana Menteri ada (melawat Kedah) air pun naik juga.
“Pemimpin utama seperti itu atau orang-orang yang mengurus tadbir negeri/negara sudah ada jadual kerja yang diatur awal. Ini termasuk pimpinan parti, contohnya selepas Muktamar Pas bercadang ke DUN Mahkota untuk bertugas, tiba-tiba banjir di sini, adakah perlu tinggal tugas di sana dan balik.
“Memanglah yang terbaik semua pakat ada sini. Namun dari sudut gerak kerja menyelamat dan sebagainya, ia tidak menghalang dengan ketiadaan pimpinan utama,” jelasnya.
Menurutnya lagi, pengurusan banjir di negeri ini berada pada tahap terbaik dan diurus oleh agensi-agensi terlibat dengan lancar biarpun tanpa kehadiran Muhammad Sanusi.
“Sebaik jejakkan kaki ke Kedah dari luar negara, Muhammad Sanusi terus kunjungi PPS Bukit Hijau dan Derang pada malam Sabtu hingga awal pagi.
“Kita juga hargai agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang membantu kelancaran bantuan banjir di Kedah.
“Pengurusan banjir sudah jalankan peranan masing-masing dengan baik selain dibantu pelbagai pihak seperti NGO (badan bukan kerajaan) dan wakil rakyat atau parti. Semua pihak sudah bersedia dan bila sampai masa diperlukan, mereka turun padang salurkan khidmat bakti,” ujarnya.
Setakat 12 tengah hari Ahad, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, seramai 8,215 mangsa banjir dari 2,563 buah keluarga ditempatkan di 40 buah PPS membabitkan lima daerah, iaitu di Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Bandar Baharu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.