DAP kecam tindakan sebar surat layang, hasut pengundi Cina ‘hukum’ BN

Wong Shu Qi (dua, kanan) giat turun padang berkempen bersama calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah pada PRK DUN Mahkota. Kredit foto : FB Wong Shu Qi

KLUANG – DAP mengecam tindakan kotor pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan surat layang untuk ‘menghasut’ pengundi Cina agar tidak mengundi calon Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota 28 September ini.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, surat layang dengan cetakan komputer menggunakan tulisan Cina itu diedarkan dari rumah ke rumah dengan memasukkannya dalam peti surat kawasan perumahan di Taman Sri Kluang, dan Taman Suria termasuk Taman Lian Seng dan Taman Pelangi, iaitu kawasan penduduk majoriti Cina.

Menurutnya, salah seorang ahli DAP melihat sendiri perbuatan yang dilakukan seorang individu pada tengah malam Jumaat, sebelum membuat laporan ke Pejabat Ahli Parlimen Kluang pada Sabtu.

“Saya anggap ini adalah taktik kotor. Sebab dalam pilihan raya tidak kira PRK (pilihan raya kecil), PRN (pilihan raya negeri), tak kira mana-mana pihak, kita menggalakkan pengundi keluar ramai-ramai untuk mengundi calon yang mereka mahukan.

“Saya percaya perbuatan ini adalah gerakan terancang. Dalam surat layang itu ditulis bahawa pengundi Cina seharusnya hukum UMNO (BN) dengan isu yang baru berlaku (berkaitan pemuda UMNO dan pemimpin DAP),” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Dalam terjemahan surat layang berkenaan, pengundi Cina digesa supaya tidak undi BN dalam PRK Mahkota supaya memberi pengajaran kepada UMNO yang didakwa sombong sekali gus untuk semak dan imbang dalam kerajaan negeri Johor.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar gerakan tersebut dihentikan kerana akan menambah kekeliruan pengundi Cina di DUN ini.

Beliau juga percaya, perbuatan tersebut mempunyai kaitan dengan pihak lawan yang sukar menarik sokongan pengundi Cina.

“Mereka tak ada modal politik dah. Mereka tak boleh dapat undi cina, jadi yang paling baik untuk menang PRK kali ini, adalah dengan menyeru pengundi cina jangan keluar mengundi.

“Jadi surat ni mereka tak berani sebar kat kawasan lain. Mereka hanya sebar kat kawasan pengundi cina, guna bahasa mandarin,” dakwanya.

Ditanya adakah benar wujud gerakan boikot pengundi Cina yang tidak akan keluar mengundi, beliau menjelaskan, perkara itu timbul disebabkan pengundi DUN Mahkota keliru kerana kali ini pertama pilihan raya yang tiada bendera Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

“Jadi kita dah jelas banyak kali kenapa dan apa situasi sekarang, (tentang) hubungan antara satu parti dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan supaya mereka akan undi dan jangan salah pangkah.

“Tetapi dengan ini (tindakan sebar surat layang) saya rasa (pengundi) akan bertambah keliru,” katanya.

Justeru tegas beliau, pihak lawan sepatutnya menyatakan tawaran apa yang mahu dilakukan untuk memenangi hati pengundi Cina bukannya bertindak dengan cara kotor.

“Jadi saya harap pengundi yang ada hak di DUN Mahkota keluar undi bagi membuktikan bahawa kita nak stabilkan situasi politik dalam negara,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply