‘Bawa usul ke Dewan Rakyat, bukan setakat Muktamar Pas’ – Adam Adli

Adam Adli

SHAH ALAM – Pas perlu berani untuk membawakan usul ke Dewan Rakyat jika berhasrat untuk mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, bukannya sekadar peringkat muktamar parti itu sahaja.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim berkata, dalam soal membuktikan keberanian politik, Anwar sudah menyatakan sikap dan keterbukaannya terhadap usul Dewan Pemuda Pas sebelum ini.

“Jika ada hasrat untuk mendesak PMX (Anwar) melepaskan jawatan, sila bawa ke Dewan Rakyat bukan hanya di Dewan Pemuda atau Sidang Muktamar. Tiada siapa yang berselindung di sebalik sebarang keterikatan yang menjerat seperti yang cuba digambarkan YB Fadhli.

“Persefahaman sejak awal yang membawa kepada penubuhan kerajaan hari ini jelas adalah berasaskan rundingan terbuka yang diikuti rapat oleh semua pemerhati sejak hari pertama. Diabsahkan juga menerusi undi percaya di Dewan Rakyat.

“Jika masih tidak yakin dan perlu ulang tayang, sila usulkan semula di Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang. Gegak-gempita tanpa tindakan wajar tidak membawa sebarang hasil. Hanya riuh dan hingar untuk menimbulkan suasana bingit dalam medan politik tempatan,” katanya dalam hantaran di facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas kenyataan Ahmad Fadhli Shaari yang mempersoalkan sama ada kerajaan boleh berlaku adil jika usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibuat pembangkang.

Sebelum itu, Anwar pada Jumaat mencabar pembangkang untuk membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat jika mahu menumbangkan kerajaan, susulan keputusan Dewan Pemuda Pas semasa muktamar baru-baru ini yang meluluskan usul bagi mendesaknya meletakkan jawatan dengan kadar segera.

Tambah Adam Adli, dalam mengiktiraf dan menghormati kedudukan wakil rakyat pembangkang, Perdana Menteri turut menekankan langkah kerajaan yang tidak melantik penyelaras politik di kawasan-kawasan Parlimen diwakili pembangkang.

“Dari semasa ke semasa, tangan terus dihulur tanda kesediaan untuk menjalinkan kerjasama, sayangnya sering ditepis dengan kasar oleh yang tidak mahu bergerak ke hadapan.

“Perjanjian persefahaman yang ditawarkan pun terus ditolak mentah-mentah oleh pimpinan utama pembangkang tanpa timbang tara lanjut. Apakah ini sudah ditanyakan kepada wakil-wakil rakyat lain yang mungkin mempunyai pandangan berbeza?

“Jika itu dasarnya, tidaklah mampu untuk kita halang mereka daripada terus menyerang dan mencerca tanpa asbab sebegini. Kerajaan hanya akan terus bekerja sehingga mandat dipulangkan semula kepada rakyat kelak,” jelasnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply