Terengganu rekod 33 episod keracunan makanan sejak Januari

Dr Kasemani (kiri) melakukan lawatan di reruai Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2024 Peringkat Negeri Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 33 episod keracunan makanan direkodkan di negeri ini oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Januari hingga Ogos lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, jumlah tersebut menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 19 episod keracunan yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

“Antara faktor yang menjadi punca berlakunya kes keracunan makanan adalah penyimpanan bahan mentah yang tidak selamat, proses pengendalian makanan yang tidak bersih serta tempoh penyimpanan yang tidak sepatutnya.

“Selain itu, makanan yang terdedah atau tidak ditutup sempurna dan masakan yang tidak dimasak sepenuhnya juga boleh menyebabkan berlakunya kes keracunan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2024 Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di sini pada Sabtu.

Justeru, Dr Kasemani berkata, pihaknya berharap semua penyedia makanan perlu lebih berhati-hati bagi memastikan sistem keselamatan makanan sentiasa menjadi keutamaan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua kes keracunan makanan itu bagaimanapun masih terkawal di Terengganu.

“Kita akan meningkatkan pemantauan terutama di lokasi-lokasi tertentu seperti di sekolah berasrama selain melibatkan kepentingan awam,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani menyatakan bagi mengatasi risiko keselamatan makanan di luar jangka maka Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan juga telah menawarkan beberapa skim pensijilan kepada pengusaha bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Beliau menambah antaranya, ialah sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP).

“Pensijilan ini akan mengukuhkan lagi kepercayaan masyarakat kepada pengusaha makanan selain membantu mereka supaya lebih berdaya saing dan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa,” jelas beliau.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply