Pengundi wanita di Mahkota mahu lebih banyak peluang ekonomi, pendidikan

Kawasan DUN Mahkota di Kluang Johor. Gambar kecil dari kiri: AFIQAH, SITI ZALEHA, dan MASLIHA

KLUANG – Hampir separuh daripada jumlah pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, golongan wanita amat mengharapkan sektor ekonomi setempat berkembang.

Tinjauan yang dilakukan mendapati rata-rata golongan wanita mahu kawasan DUN Mahkota yang terletak di tengah bandar Kluang dimajukan kerana mempunyai banyak ruang dan potensi pembangunan yang boleh diteroka.

Bagi kerani, Siti Zaleha Mohd Yusof, 32, peluang pekerjaan dilihat masih rendah meskipun Kluang terkenal sebagai lokasi laluan kereta api yang menghubungkan daerah-daerah berhampiran seperti Segamat dan Kulai.

Jelasnya, masih banyak ruang dan tanah yang dibangunkan untuk merancakkan ekonomi dan sektor pendidikan termasuk cadangan membina sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di Kluang.

“Ada banyak kawasan yang boleh dibangunkan di DUN Mahkota, mungkin boleh dibina sebuah IPT sama ada universiti mahupun kolej kemahiran yang menawarkan bidang-bidang teknologi.

“Apabila sudah ada IPT, secara tidak langsung dapat menjana ekonomi setempat. Gerai-gerai makanan dan kafe yang diusahakan golongan wanita juga akan dapat tempiasnya,” katanya.

Mengikut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pengundi wanita di DUN Mahkota berjumlah 32,865 orang mewakili 49.56 peratus daripada keseluruhan pengundi seramai 66, 318 orang.

Bagi Masliha Mahad, 40 pula mengakui kos sara hidup yang tinggi memberi cabaran untuk dirinya dan suami membesarkan lima orang anak.

“Ramai suri rumah kini yang bekerja termasuk saya yang kini mencari rezeki sebagai pengasuh bayi di pusat jagaan ibu bersalin di Kluang.

“Kursus dan kelas untuk golongan wanita mempelajari kemahiran baharu bagi tambah pendapatan mungkin boleh diadakan.

“Faktor ekonomi seperti peluang pekerjaan kepada golongan wanita juga perlu diberikan perhatian,” katanya.

Sementara itu bagi peniaga, Afiqah Asrolnizam, 27, mahu lebih banyak program dan bantuan kepada golongan wanita yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

“Ramai golongan wanita sama ada suri rumah atau ibu tunggal terbabit dalam perniagaan kecil-kecilan seperti buat kuih dan kek di rumah untuk menjana pendapatan.

“Program dan bantuan untuk golongan wanita tingkatkan pendapatan menerusi perniagaan perlu diperhebat dan dipermudahkan urusan mereka untuk mendapatkan bantuan terbabit,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply