Hanya seorang daripada 26 anak CEO GISBH bukan pengikut

Polis Kelantan melakukan serbuan di kediaman keluarga CEO GISBH menerusi Op Global di Kampung Panji, Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU – Hanya seorang daripada 26 anak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang telah ditahan menerusi perkahwinan dengan empat isteri tidak menjadi pengikut.

Difahamkan anak tersebut memilih untuk bekerja sendiri manakala selebihnya mereka dikatakan menjadi tenaga kerja dan pengikut GISBH.

Kesemua mereka itu bekerja secara sukarela tanda kesetiaan kepada syarikat tanpa diberi gaji khusus walaupun terpaksa berulang-alik ke luar negara.

Bagaimanapun, mereka memaklumkan walaupun tidak diberi gaji namun segala keperluan dipenuhi.

Bagi seorang anak yang tidak menyertai GISBH, hubungan mereka masih terjalin erat namun jarang berjumpa disebabkan tidak terbabit dengan syarikat sama.

Sebelum itu, pada Sabtu Polis Kelantan melakukan serbuan di kediaman keluarga CEO GISBH menerusi Op Global di Kampung Panji di sini.

Operasi bermula jam 6.30 pagi dan berakhir jam 9.30 pagi itu membabitkan lebih 30 individu termasuk warga emas, kanak-kanak dan bayi diperiksa sebelum dibawa menaiki van polis untuk dihantar ke pusat saringan.

Turut sama dalam operasi berkenaan adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik).

Operasi terbabit turut merampas pelbagai jenis buku dengan ada yang ditanam di tepi sungai berdekatan kediaman terbabit bagi mengelak dirampas atau dikesan pihak berkuasa.

Sementara itu, tinjauan di lokasi serbuan mendapati, daripada tiga rumah, dua kediaman didiami 17 hingga 19 individu dengan pasangan bermadu tinggal bersama.

Mereka turut memaklumkan untuk menampung kehidupan seharian, mereka terpaksa membuat kuih dan meletakkan di kedai-kedai makan.

Sekiranya duit tidak mencukupi hasil jualan terbabit, barulah mereka meminta bantuan daripada suami untuk memberi keperluan dapur.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply