19 calon Armada Bersatu selesai hantar borang pencalonan

Zahin (dua dari kanan) dan Faiz (dua dari kiri) ketika ditemui media selepas sesi penyerahan borang di sini pada Sabtu.

PETALING JAYA – Seramai 19 ahli pasukan pilihan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, Zahin Zainal selesai menghantar borang pencalonan bagi mengisi jawatan di peringkat Pusat menjelang pemilihan pada Oktober depan.

Zahin yang juga calon Ketua Armada Bersatu berkata, pencalonan secara sukarela itu dibuat bagi meyakinkan akar umbi Bersatu agar pihaknya mampu menerajui sayap parti pada sesi akan datang.

Menurutnya, barisan kepimpinan baharu tersebut diyakini mampu menawan hati pengundi bukan sahaja ahli Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), malah golongan muda yang bakal mengundi buat pertama kali semasa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

“Saya dan keseluruhan jawatankuasa atau exco Armada Bersatu di setiap negeri selesai hantar borang sebagai satu pasukan.

“Kami menawarkan diri untuk memberikan khidmat bakti dalam pemilihan parti pada sesi ini. Kekuatan kami adalah datang daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman di peringkat bahagian, negeri serta pusat.

“Insya-ALLAH sekiranya diberikan mandat oleh akar umbi, kami berikrar akan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya ketika sidang media selepas sesi penyerahan borang di Ibu Pejabat Bersatu, di sini pada Sabtu.

Seramai 19 calon hantar borang pencalonan Armada Bersatu.

Secara keseluruhannya, sebanyak 15 kekosongan jawatankuasa sayap bakal dipertandingkan, dua lagi mengisi jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap beserta ketua dan naib ketua Armada Bersatu.

Pencalonan jawatan Naib Ketua Armada Bersatu juga diisi oleh Timbalan Pengerusi Tetap Armada iaitu Faiz Rahmad atau mesra dipanggil Cikgu Faiz.

Zahin turut memaklumkan, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberikan respons yang amat baik dan sudi menghulurkan sokongan penuh kepada calon pemimpin baharu.

Tambah beliau, ia kerana ahli Parlimen Machang itu sudah melepasi had umur iaitu 35 tahun untuk terus memegang jawatan sebagai ketua Armada.

“Ini bukan bermaksud beliau tak bertanding tapi dah melepasi had umur.

“Dari segi saingan, kami dimaklumkan ada lagi yang akan menghantar borang pencalonan cuma saya tak dapat pastikan berapa ramai.

“Sehingga 19 Oktober depan akan ada sesi pengundian, kita tunggu sahaja maklumat rasmi daripada parti,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply