KLUANG – Pengundi luar terutama anak muda tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap kepentingan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September nanti.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, walaupun PRK DUN Mahkota tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri mahupun Persekutuan namun tetap penting untuk memastikan masa depan penduduk terbela.
“Pengundi luar terutama pengundi muda, jangan sesekali timbul pandangan PRK ini tak penting. Mereka perlu ingat, walaupun berada di luar, tetapi mereka menentukan nasib ahli keluarga mereka yang berada di sini.
“Sekiranya mereka tidak balik dan yang menang nanti adalah calon yang tidak boleh bekerja, yang kasihan adalah ahli keluarga mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pertandingan Memancing Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Muhamad Akmal yakin dengan kemampuan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah untuk membela nasib dan membawa suara penduduk DUN Mahkota ke sidang DUN Johor sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat kelak.
Ditanya berkenaan sokongan jentera Wanita UMNO berikutan desas-desus rasa tidak puas hati kerana kerusi itu tidak diwarisi kepada sayap parti berkenaan, Muhammad Akmal menjelaskan sokongan diterima setakat ini cukup baik.
Muhamad Akmal berkata, pihaknya sangat bertuah kerana jentera Wanita UMNO begitu bersungguh-sungguh membantu kempen memenangkan calon Pemuda UMNO berkenaan.
“Kita menerima sokongan yang sangat bagus dan sangat baik bukan hanya daripada jentera Wanita UMNO di Bahagian ini, malah dari seluruh negara yang bermati-matian berkempen untuk calon kita.
“Tanpa jentera Wanita UMNO ini saya rasa tidak mungkin untuk dapat memastikan kemenangan calon kita,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.