Kawal selia bayaran hospital awam

Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluas sayap persendirian di hospital kendalian kerajaan untuk menjana pendapatan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Saravanan)

SHAH ALAM – Kerajaan disaran mengawal atau menetapkan bayaran lebih rendah berbanding perkhidmatan di hospital swasta sekiranya memperluaskan ‘sayap persendirian’ di hospital kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), T Saravanan berkata, ia bagi memberi pilihan kepada pesakit yang tidak berkemampuan menikmati perkhidmatan lebih cepat tanpa perlu menunggu lama.

“Bayaran boleh dikawal selia oleh kerajaan supaya ia mampu bayar, terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).

“Selain itu ia berpotensi mengurangkan tekanan terhadap hospital kerajaan yang kini terlampau sesak,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad ketika berucap di Kongres Kanser Sedunia (WCC) 2024 di Geneva, Switzerland pada 17 September lalu memaklumkan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluas sayap persendirian di hospital kendalian kerajaan untuk menjana pendapatan.

Beliau dilapor berkata, cadangan tersebut termasuk mewujudkan perkhidmatan pesakit bayar penuh (PPBP) dalam hospital awam sebagai usaha meningkatkan pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan swasta melalui infrastruktur sedia ada.

Dalam pada itu Saravanan berpandangan, tindakan tersebut mampu meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan untuk semua lapisan masyarakat.

Selain mengurangkan barisan panjang di hospital kerajaan, orang ramai boleh membuat pilihan mengikut kemampuan masing-masing.

“Kami mencadangkan agar tenaga kerja perubatan serta peralatan turut ditambah bagi mengurangkan masa menunggu di hospital kerajaan.

“Selain itu perkenalkan juga subsidi kesihatan yang lebih komprehensif serta melabur dalam teknologi kesihatan dan digitalisasi bagi meningkatkan keberkesanan hospital kerajaan,” ujarnya.

REAKSI PERKHIDMATAN PESAKIT BAYAR PENUH (PPBP)

Edwin Mario, 42, Pesara awam

“Saya rasa tak perlu, kerana hospital swasta dah ada, bagi mereka yang berduit boleh mendapatkan rawatan berbayar di sana. Bagi yang kurang berkemampuan, boleh gunakan perkhidmatan di hospital kerajaan sedia ada. Dalam situasi ekonomi negara yang tidak menentu, ramai rakyat berada dalam kesusahan.

EDWIN MARIO

“Pendapat saya, kerajaan perlu memberi lebih keutamaan dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit kurang berkemampuan. Ada juga orang susah takut untuk ke hospital kerana terdapat caj tertentu dikenakan untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital seperti contoh nak buat pembedahan, jika tak bayar, tak buat. Kalau kena bayar untuk rawatan di hospital awam, apa beza kerajaan dan swasta? Kerajaan perlu memikirkan cara lain untuk meningkatkan pendapatan bukan melalui cara ini.”

Awiyatul Amilah Ahmad Bakri, 25, Pekerja kiosk

“Bimbang dengan pelaksanaan perkhidmatan pesakit bayar penuh (PPBP) di semua hospital awam terutama bagi golongan yang berniaga kerana pendapatan tidak menentu. Namun, saya difahamkan boleh memilih sama ada perkhidmatan biasa atau PPBP. Adakah dengan adanya PPBP di hospital awam, masalah kekurangan staf dan ruang menempatkan pesakit yang sesak ketika ini mampu diatasi?

AWIYATUL AMILAH

“Risau sekiranya ada pesakit berbayar diberikan lebih layanan menyebabkan pesakit kurang berkemampuan diabaikan kerana doktor dan jururawat. Kerajaan perlu mengambil kira aduan orang ramai akibat perkhidmatan lambat dan tempoh menunggu lama di hospital awam terlebih dahulu sebelum memikirkan cadangan tersebut.”

Gan Wei Shenn, 39, Pekerja swasta

“Cadangan mewujudkan PPBP di hospital awam sangat baik bagi memberi pilihan kepada rakyat memilih rawatan berbayar terutama bagi golongan yang berkemampuan tambahan pula bayaran perubatan dan kos ubat-ubatan di hospital swasta kini dilihat semakin mahal. Diharap kewujudan PPBP membolehkan kerajaan memantau agar caj yang dikenakan kepada pesakit tidak terlalu tinggi seperti perkhidmatan di hospital swasta.”

GAN WEI SHENN

Nurul Anis Abd Aziz, 21, Penjual tudung

“Setuju diwujudkan PPBP kerana rakyat boleh memilih rawatan terbaik dan layanan yang sudah pasti berbeza. Saya percaya layanan diberikan kepada PPBP adalah lebih eksklusif. Berdasarkan pengalaman yang dikongsi ibu saya, contohnya jika seseorang wanita mahu melahirkan anak diberi layanan baik, kesakitan dialami mampu dikawal.”

NURUL ANIS


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply