Segera lindungi anak-anak kita

Berlaku kes-kes penganiayaan serius terhadap kanak-kanak di rumah-rumah jagaan di Selangor serta Negeri Sembilan. Gambar hiasan

“BETA berasa kesal dan dukacita apabila baru-baru ini tersebar berita mengenai sebuah organisasi yang berselindung di sebalik kebajikan Islam dilaporkan telah melakukan penderaan terhadap kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka dan juga mengeksploitasi kanak-kanak tersebut sebagai buruh.

“Ia adalah contoh perbuatan yang tidak seharusnya timbul dan ditonjolkan oleh umat Islam. Sebaliknya, menjadi satu tanggungjawab dan amanah kepada semua umat Islam untuk menunjukkan nilai-nilai Islam sebenar dalam amalan kehidupan seharian seperti keikhlasan, kejujuran, amanah, keadilan, perpaduan serta persaudaraan, kesederhanaan dan hormat-menghormati.”

Ia adalah sebahagian titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semasa sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Padang Seremban, Isnin lalu.

Amat malang, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertuan Agong pada hari berikutnya terpaksa merujuk kepada kes-kes penganiayaan serius terhadap kanak-kanak di rumah-rumah jagaan di Selangor serta Negeri Sembilan ketika rakyat Malaysia meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ia bertepatan pula dengan Hari Malaysia dan perayaan Pesta Pertengahan Musim Luruh yang berlaku keesokan harinya.

Sesungguhnya amat tragis bagi umat Islam dan semua rakyat Malaysia — kekejaman yang tidak terbayang itu boleh berlaku kepada anak-anak kita di negara kita sendiri. Ia bukan kali pertama kes-kes penderaan ditemui dan lebih buruk lagi telah diusulkan bahawa apa yang telah ditemui dalam kes tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada masalah lebih besar.

Kenyataan pembelaan yang lemah mendakwa terdapat ‘hanya satu atau dua kes’ liwat tetapi ia menimbulkan lebih banyak soalan daripada jawapan seperti apa berlaku kepada pelaku, bagaimana keadilan dilaksanakan dan apakah sokongan diberikan kepada mangsa?

Banyak yang perlu diubah untuk menghentikan perbuatan kejam itu daripada berlaku. Sebahagian daripada masalah tersebut bersifat birokratik.

Perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa dan individu terlibat dengan rumah-rumah jagaan telah menambah kepada apa yang saya perhatikan sebagai ahli lembaga beberapa institusi yang berusaha menyediakan tempat tinggal, menjaga, mendidik atau menyediakan perkhidmatan lain kepada kanak-kanak.

Pelesenan sering kali rumit, melibatkan agensi daripada kementerian berbeza dan walaupun terdapat kriteria bertulis tentang apa diperlukan, pegawai yang berbeza boleh mempunyai pandangan berbeza mengenainya (dan kadangkala pegawai yang sama boleh mengubah fikiran mereka).

PELESENAN

Tambahan pula dalam mendapatkan lesen tersebut, kadangkala terdapat cara untuk ‘mengatasi peraturan’. Dalam beberapa kes, organisasi diberitahu untuk ‘memulakan dahulu’ sementara lesen sedang diproses.

Saya bersimpati dengan hal tersebut kerana kadangkala kelulusan diberikan secara tidak formal, sementara surat-surat rasmi sedang disediakan. Namun, apabila pihak pengawal selia kebetulan melakukan pemeriksaan dalam tempoh tersebut, hujah-hujah seperti itu tidak dapat diterima.

Rasuah dan ketidakcekapan itu telah menyebabkan ramai orang yang berhati mulia serta berdedikasi berputus asa mahu melakukan kebaikan kepada golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat kita.

Malangnya, kelemahan yang sama itu boleh dieksploitasi oleh individu tidak beretika — dalam senario paling buruk, oleh orang yang sengaja ingin melakukan kejahatan di sebalik topeng tujuan mulia.

Rasuah dan ketidakcekapan itu juga sering diburukkan lagi oleh kegagalan institusi dalam menangani kes-kes sedemikian. Walaupun tindakan pihak polis telah dipuji dalam episod terbaharu ini, rakyat bertanya kenapa kerajaan — daripada Perdana Menteri kepada menteri-menteri berkaitan hingga ketua-ketua agensi — kelihatan begitu lambat bertindak balas.

Dalam jangka pendek, komitmen sepatutnya telah dibuat untuk menyiasat semua rumah-rumah jagaan berkaitan. Dalam jangka sederhana, rejim pelesenan dan pengawasan untuk semua organisasi berurusan dengan kanak-kanak perlu dirombak.

Lebih banyak pembaharuan boleh dilakukan dalam jangka panjang hasil daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja yang telah dicadangkan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Sebaliknya, banyak komen di media sosial telah memerhatikan bahawa kerajaan begitu giat dalam hal-hal lain tetapi agak lemah dalam hal berkenaan. Satu lagi perkara yang membolehkan kejahatan seperti itu berterusan ialah apabila rakyat berasa takut untuk mengkritik sesuatu perkara.

RETORIK PERKAUMAN, AGAMA

Mereka takut tindakan balas sama ada daripada pihak kerajaan, pelaku yang didakwa atau mereka yang sanggup menggunakan retorik perkauman dan agama untuk menyerang pengkritik.

Dalam beberapa kes, kita lihat berlaku dwistandard — kesalahan dihakimi dengan piawaian berbeza berdasarkan kaum atau agama pelaku yang didakwa. Hal itu tidak sepatutnya berlaku, malah orang yang sebangsa atau seagama sepatutnya lebih marah lagi apabila jenayah dilakukan oleh individu daripada golongan mereka sendiri.

Saya berdoa agar kanak-kanak yang terjejas oleh episod berkenaan akan menerima segala rawatan mental dan kesihatan fizikal yang mereka perlukan agar mereka boleh meneruskan kehidupan, mendapat pendidikan cemerlang serta menjadi warganegara contoh Malaysia.

Sementara itu, saya bersama yang lain menyeru kerajaan untuk mengambil perkara tersebut dengan lebih serius. Lakukan pembaharuan yang diperlukan, wujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan integrasikan keselamatan kanak-kanak dalam semua aspek penggubalan dasar dengan segera.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply