Beruntung jadi umat Nabi Muhammad SAW

WALAUPUN hanya sedikit amalan dilakukan, tetapi ALLAH SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada umat Nabi Muhammad SAW. -Foto: 123rf

SEBAGAI umat Nabi Muhammad SAW, kita begitu beruntung kerana mempunyai banyak kelebihan jika dibandingkan dengan umat-umat sebelumnya.

Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad menjelaskan, perkara itu ada dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis.

DR SITI NORLINA

Sabda Baginda: “Umatku telah diberi tiga perkara yang tidak diberikan kecuali kepada para nabi sahaja. Dahulu apabila ALLAH SWT mengutus seorang Nabi, ALLAH SWT berfirman kepada Nabi tersebut, ‘Berdoalah engkau kepada-KU, nescaya akan AKU kabulkan’.

“Namun, untuk umatku ini, ALLAH SWT berfirman, ‘Berdoalah kalian, nescaya akan AKU kabulkan untuk kalian’. Dahulu apabila ALLAH SWT mengutuskan seorang Nabi, ALLAH SWT berfirman kepada nabi tersebut, ‘AKU tidak menjadikan kesulitan padamu dalam agama ini’.

“Namun untuk umat ini, DIA menyatakan, ‘AKU tidak menjadikan kesulitan kepada kalian dalam agama ini’. Apabila ALLAH SWT mengutuskan seorang Nabi, ALLAH SWT menjadikannya sebagai saksi. Sedangkan untuk umatku ini, ALLAH menjadikan mereka sebagai saksi.” (Riwayat Ibnu Abi Hatim)

Bukan itu sahaja jelasnya, andai orang yang ditimpa ujian dan musibah mengucapkan lafaz istirja’ (Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un), maka ALLAH akan mengangkat musibahnya dan memberi pengganti lebih baik.

UMAT Rasulullah SAW merupakan umat terbaik. -Foto: 123rf

Kelebihan di akhirat

Istimewanya umat Rasulullah SAW itu, jelas Dr Siti Norlina, ia bukan hanya ketika kita berada di dunia sahaja, tetapi turut mendapat kelebihan di akhirat kelak.

Terlalu banyak jika mahu disingkap satu persatu tentangnya. Antara yang utama ialah umat Nabi Muhammad merupakan umat terbaik dan menjadi umat pertama yang akan masuk ke syurga.

“Selain itu, ALLAH SWT juga akan memaafkan umat Baginda SAW kerana lupa dan sebagainya, di samping diberi keistimewaan untuk memberi ‘syafaat’ kepada orang lain,” katanya.

Ia sebagaimana disebutkan oleh Baginda SAW: “Wahai Tuhan kami, mereka selalu berpuasa, solat dan berhaji bersama kami”. Maka dikatakan kepada mereka; “Keluarkanlah orang-orang yang kalian ketahui”.

“Maka bentuk-bentuk mereka hitam kelam kerana kesan dipanggang api neraka, kemudian mereka mengeluarkan begitu ramai orang yang telah dibakar api neraka hingga pertengahan betisnya dan kedua lututnya. Kemudian mereka berkata; “Wahai Tuhan kami, tidak tersisa lagi seorang pun yang telah ENGKAU perintahkan kepada kami.” (Hadis Riwayat Muslim)

Benarkah umat Rasulullah SAW mendapat ganjaran pahala lebih banyak berbanding umat-umat terdahulu walaupun hanya sedikit amalan dilakukan?

UMAT Nabi Muhammad SAW begitu beruntung kerana mempunyai banyak kelebihan jika dibandingkan dengan umat-umat sebelumnya. -Foto: 123rf

Menjawab pertanyaan itu, Dr Siti Norlina lantas mengiyakannya yang menggambarkan betapa besarnya rahmat ALLAH SWT kepada umat Baginda SAW.

Mengambil contoh lailatulqadar pada bulan Ramadan, katanya, ALLAH SWT mengurniakan ganjaran beribadah pada malam tersebut lebih baik daripada pahala beribadah selama 1,000 bulan menerusi firman-NYA dalam ayat ketiga surah al-Qadr.

“Menurut Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, lailatulqadar khusus untuk umat Nabi Muhammad sahaja dan tidak ada pada umat sebelumnya.

“Bagaimanapun, umat terdahulu dikurniakan dengan usia yang panjang untuk mereka beribadah, manakala kita pula dikurniakan dengan kelebihan amalan yang digandakan dari segi pahalanya,” hurainya.

Kepada satu soalan, Dr Siti Norlina menjawab: “Walaupun tidak dapat bertemu empat mata dengan Nabi Muhammad SAW, tetapi kita masih boleh berdampingan dengan Baginda di akhirat kelak.

“Antara pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya yang ingin bersama Baginda nanti adalah memperbanyakkan selawat ke atas Baginda, memelihara dan menjaga keperluan anak yatim serta menjadi pemimpin yang amanah, benar dan adil,” ungkapnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply