KLUANG – Wajah baharu lokasi perniagaan di tingkat satu Terminal Pengangkutan Awam Kluang antara cadangan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar.
Mohamad Haizan berkata, keadaan lengang tanpa pelanggan menyebabkan banyak gerai yang ditutup manakala bagi mereka yang masih berniaga mahukan pembaharuan segera dilakukan.
“Peniaga yang saya temui mengeluh, tiada orang hendak makan di gerai mereka. Hendak balik modal pun susah, jauh sekali hendak untung. Mereka hanya kuatkan semangat untuk terus berniaga.
“Dianggarkan ada 50 gerai tetapi yang beroperasi lima atau enam gerai sahaja. Di sini ada gerai makan dan pakaian,” katanya di terminal berkenaan pada Jumaat.
Justeru Mohamad Haizan, mahu membawa keluhan peniaga terbabit ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) jika menang sebagai wakil rakyat kelak.
“Kalau menang, saya akan bawa keluhan peniaga di sini. Saya bertindak sebagai pengimbang di DUN dan akan ceritakan masalah peniaga di terminal di sini. Paling utama tangga, perlu diganti dengan tangga bergerak atau eskalator.
“Sepatutnya kerajaan ‘mewajahkan’ tempat ini semula, kerusi perlu tukar kerana agak ketinggalan zaman, begitu juga dari segi pencahayaan perlu ditambah baik untuk naikkan semangat orang ramai naik ke tingkat atas,” katanya.
Pada 6 September lalu, Sinar Harian melaporkan Terminal Pengangkutan Awam Kluang dekat sini, yang menjadi lokasi tumpuan penduduk kerana turut menempatkan lokasi perniagaan yang sejak 1995, kini semakin suram.
Rata-rata peniaga berharap pemimpin yang dipilih dalam PRK kali ini dapat membawa suara peniaga di situ dan usaha perlu dilakukan untuk menghidupkan semula kawasan terminal selain menambah baik kemudahan awam.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.