PM Anwar beri sumbangan peribadi kepada mangsa banjir di Perlis

Pandangan dari udara situasi banjir di Kampung Padang Luar, Kubang Pasu. Foto Bernama

ARAU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan sumbangan peribadi menerusi Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU JPM) Perlis kepada 46 keluarga terjejas akibat banjir di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Arau dan Kangar.

Tanpa menyatakan jumlah sumbangan itu, Pengarah ICU JPM Perlis Maznah Musa berkata, sumbangan disampaikan kepada 14 ketua isi rumah (KIR) di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di Kangar manakala di PPS SK Dato Ahmad Musa, 12 KIR menerima sumbangan, PPS SK Kubang Gajah (13 KIR) dan PPS SK Arau (tujuh KIR) dalam kawasan Parlimen Arau.

“Kita bagi dua sumbangan, satu sumbangan daripada Perdana Menteri sendiri dan juga satu lagi sumbangan daripada bantuan wang ihsan yang peruntukannya di bawah Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan berkenaan kepada keluarga mangsa banjir di PPS SK Arau di sini hari ini bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Rozabil Abd Rahman.

Menurut Maznah setiap KIR menerima RM1,000 bantuan wang ihsan NADMA yang diberikan kepada keluarga yang berpindah ke PPS.

Setakat 6 petang ini, jumlah mangsa banjir di Perlis adalah seramai 147 orang daripada 46 keluarga di empat PPS. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply