SELAMA 10 tahun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force meneruskan rutin mereka menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan hasil dana sumbangan orang ramai.
Pengasas yang juga Pengerusi Eksekutifnya, Raja Shamri Raja Husin berkata, kedua-dua NGO yang diuruskan beliau bersama pasukan sukarelawannya di seluruh negara itu menggunakan dana sumbangan orang awam tanpa mengambil sebarang komisen.
“Kita mengamalkan prinsip apa yang disumbangkan orang ramai itulah jumlah yang akan kita hulurkan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengambil apa-apa komisen.
“Oleh sebab itulah Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force boleh bertahan sehingga sekarang dan semakin berkembang sejak ia dimulakan pada 2014,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Beliau berkata demikian ketika selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada asnaf dan golongan memerlukan sekitar Seri Kembangan, Selangor.
Turut hadir Pengerusi Penduduk Kota Impian, Kota Perdana, Azmani Che Ngah Md Daud dan wakil The 3rd Force Selangor, Muhammad Taufiq Mat Taib.
Tambah Raja Shamri, setakat ini pihaknya telah menghulurkan bantuan barangan keperluan kepada lebih 110,000 orang, membina dan membaiki lebih 600 rumah asnaf serta bantuan pendidikan kepada lebih 317,000 pelajar.
“Semuanya dana daripada sumbangan orang awam dan semuanya diuruskan dengan baik, direkodkan serta diaudit,” jelasnya.
Pihaknya yang menggunakan slogan ‘Jom jadi orang baik-baik’ turut berterima kasih kepada orang ramai yang pemurah dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan ini.
Menurutnya, Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force tertumpu kepada bantuan selepas banjir pada tahun lepas diikuti dengan bantuan akibat kemarau panjang selama empat bulan di Kelantan pada tahun ini.
“Pihak kami teruskan juga rutin mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan seluruh negara walaupun sibuk dengan bantuan bencana,” ujarnya.
Beliau turut berpesan kepada orang ramai terutamanya golongan remaja dan belia agar memanfaatkan masa untuk membantu orang-orang yang memerlukan.
“Saya suka jika anak-anak muda tampil untuk menjadi sukarelawan. Ini kerana apabila mereka terlibat dengan aktiviti agihan bantuan, gotong-royong bersama masyarakat dan bantuan selepas bencana ini, mereka dapat belajar banyak perkara secara tidak langsung.
“Jadi, usah segan dan malu untuk bersama-sama dengan Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force ini. Jom jadi orang baik-baik,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.