PRK Mahkota: Manifesto BN mampu dilaksana, tidak janji bulan bintang

Syed Hussien pada Program Sembang Santai Bersama Calon Barisan Nasional di Perpustakaan Desa Kampung Melayu, Kluang pada Khamis.

KLUANG – Tidak ada tawaran bulan dan bintang dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sebaliknya ia dirangka secara realistik.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, janji dan tawaran dalam manifesto yang diumumkan tidak lama lagi akan memberi manfaat besar kepada rakyat di Mahkota.

“Manifesto BN sedang dirangka dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Antara yang kita masukkan dalam manifesto adalah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2030).

“Ini kerana pelan dan dasar pembangunan Johor itu sudah cukup untuk memberi manfaat kepada rakyat Kluang. Kita tidak janjikan bulan dan bintang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Sembang Santai Bersama Calon Barisan Nasional di Perpustakaan Desa Kampung Melayu di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar merangkap Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor.

Mengulas lanjut, Syed Hussien berkata, pelan Pembangunan Johor itu merangkumi semua aspek bukan sahaja pendidikan tetapi kebajikan rakyat.

Katanya, negeri ini berada pada landasan yang betul apabila ramai orang muda diberikan tempat dan peluang dalam pentadbiran kerajaan negeri iaitu kira-kira hampir 80 peratus.

Sementara itu, Raven Kumar melahirkan harapan agar pengundi membuat pilihan yang betul dan memberi peluang kepada Syed Hussien untuk mewakili mereka di DUN Mahkota.

Beliau yakin apabila calon BN itu dipilih, keyakinan pelabur akan semakin mengukuh kerana mereka lihat rakyat percaya kepada wakil rakyat daripada kerajaan sedia ada.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply