Serangan Bom Dalam Walkie Talkie Mengorbankan 20 Orang Pula Di Lubnan

Semalam serangan bom yang disorokkan dalam alat kelui menyebabkan 12 orang terbunuh dan hampir 3000 tercedera di Lubnan. Adalah dipercayai bom seberat 56 gram disorokan dalam alat kelui yang digunakan oleh anggota Hezbollah diletupkan secara rawak. Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom ini tetapi Hezbollah menuding jari ke arah agensi risikan Israel Mossad.

Awal hari ini serangan kedua pula dilakukan di Lubnan dan kali ini ia menyebabkan set radio walkie talkie meletup. Seramai 20 orang dilaporkan terbunuh manakala 450 lagi tercedera dalam serangan gelombang kedua ini. Walaupun mengorbankan puluhan nyawa dan mencederakan ribuan orang awam Hezbollah mengatakan hanya 16 anggota mereka terbunuh.

ICOM IC-V82

Sekali lagi Mossad dipercayai dalang di sebalik insiden yang kini dilabel sebagai serangan pengganas. Meletakkan bom di dalam barangan yang digunakan orang awan bagi tujuan peperangan adalah melanggar undang-undang antarabangsa.

Bom meletup dalam radio walkie talkie model ICOM IC-V82 yang dikeluarkan oleh sebuah firma Jepun. Pengeluarannya telah dihentikan 10 tahun yang lalu dan pihak ICOM tidak tahu bagaimana peranti keluaran mereka jatuh ke tangan operatif Hezbollah.

Dalam perkembangan yang sama Majlis Keselamatan PBB menjadualkan mesyuarat tergempar mengenai letupan di Lubnan pada hari esok atas permintaan Algeria yang merupakan wakil Arab dalam badan berkuasa ini.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply