PRK Mahkota: Muda tidak bantu kempen mana-mana parti

Muda nafi terlibat secara langsung dalam membantu mana-mana parti dalam PRK Mahkota. Foto hiasan

KLUANG – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menafikan terlibat secara langsung dalam membantu mana-mana parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang sedang berlangsung.

Setiausaha Agungnya, Amir Hadi berkata, tidak wujud sebarang perbincangan mengenai perkara berkenaan.

“Muda akan menumpukan fokus kepada pembangunan semula parti selepas melalui siri-siri pilihan raya dan beberapa perkembangan mutakhir ini, serta persiapan bagi mengadakan pemilihan parti seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Parti.

“Justeru, tidak ada sebarang perbincangan dan komitmen untuk membantu mana-mana parti dalam PRK yang sedang berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu ceramah kelompok gabungan pembangkang itu pada Rabu, memaklumkan Muda bersetuju membantu PN berkempen dalam PRK Mahkota bagi meraih undi orang muda memandangkan lebih 50 peratus pengundi terdiri daripada kumpulan itu.

Beliau juga berkata, perbincangan bersama Muda berkenaan penyertaan parti itu dalam PN akan dibincangkan selepas PRK Mahkota.

Mengulas perkara itu, Amir berkata, Muda terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dan rundingan dengan mana-mana pihak.

“Namun ia mestilah dibincang dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat,” katanya.

Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply