Sekalung tahniah buat bekas penyampai berita, Azawate Zenol Abidin atas kejayaan menamatkan pengajian peringkat Sarjana baru-baru ini. Daripada perkongsian di media sosial miliknya jelas terserlah wajah bahagia dan syukur personaliti ini yang berjaya menggenggam Master of Mass Communication dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Anggun mengenakan persalinan tradisi rona merah jambu dan berjubah konvokesyen, Azawate atau mesra disapa Aza membuktikan status sebagai isteri dan ibu tidak mematahkan semangatnya untuk melanjutkan pelajaran di menara gading.
View this post on Instagram
Lebih istimewa, sepanjang dua tahun pengajian Azawate memperoleh CGPA 3.93 sekaligus melayakkan dirinya menerima Anugerah Sarjana Cemerlang!
Meniti usia lewat 40an, ibu tiga cahaya mata ini enggan menjadikan usia sebagai halangan untuk menimba ilmu. Memang patut dijadikan inspirasi.
Menerusi perkongsian Azawate sebelum ini, dia menghadapi kesukaran untuk menamatkan pengajian disebabkan keadaan kesihatannya namun bersandarkan semangat yang kuat, wanita cekal ini tetap berjaya meraih CGPA 3.97 ketika semester tiga.
Azawate merupakan bekas penyampai berita TV3 dan menjadi perhatian khalayak selepas dia tidak dapat menahan sebak sewaktu menyampaikan berita mengenai insiden menyayat hati MH370.
Dia dikhabarkan mula menyertai stesen televisyen swasta tersebut pada tahun 2004 namun memutuskan untuk mengambil Skim Pemisahan Wajib (MSS) yang melibatkan 24 pekerja lain pada tahun 2019.
Azawate Zenol Abidin mendirikan rumah tangga dengan Raqizal Khalis Husni pada 22 Februari 2008. Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Izz Zaquan, Izz Zafran dan Izz Zahra.
Semoga kejayaan yang dikecapi Azawate menjadi suntikan semangat dan inspirasi buat golongan wanita untuk mengejar impian mereka.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.