Ulasan JBL Xtreme 4 – Bom Sonik Mudah Alih

Pengembaraan saya ke alam speaker mudah alih tahun ini membawa saya kepada JBL Xtreme 4 yang merupakan aksesori audio mudah alih paling besar pernah diulas setakat ini. Dalam ulasan untuk Sony ULT Field 1 saya mengatakan audio yang ditawarkan adalah menarik tetapi tidak cukup berkuasa untuk pengalaman audio sebenar. Oleh itu JBL Xtreme 4 ialah produk audio yang akan menyelesaikan isu ini.

Spesifikasi

JBL Xtreme 4
Jenis Speaker nirwayar stereo
Pemandu 2x Woofer 70mm (30W)
2x Tweeter 20mm (20W)
2x Radiator
Mikrofon Tiada
Bateri 9444 mAh
24 jam
60W
Port pengecas USB-C
Sambungan Bluetooth 5.3
CODEC AAC, SBC
Sistem operasi disokong Semua
Sokongan pembantu maya Tiada
Butang Kuasa
Laras audio
Kawalan muzik
Bluetooth
Auracast
Kemampuan kalis air IP67
Harga Jualan  RM 1799

Rekaan

Sekali pandang JBL Xtreme 4 kelihatan seperti sebuah aksesori audio yang serius kerana mempunyai elemen rekaan yang agresif seperti tanda seruan besar pada penutup pembesar suara dan penyangkut logam yang nampak cukup tahan lasak. Ia seakan sebuah bom audio yang akan meledakkan gegendang telinga pendengar.

Terdapat dua pelapik getah pada kedua-dua sisi yang akan memastikan Xtreme 4 boleh diletakkan menegak di atas sebarang permukaan. Pada waktu yang sama terdapat juga dua jalur pelapik getah pada bahagian bawah untuk tujuan yang sama. Kemasan luaran tubuh pula diperbuat daripada bahan kanvas yang lasak yang mempunyai tekstur yang sama seperti ULT Field 1 tempoh hari.

Dalam tubuh yang masih boleh saya katakan agak kompak ini diletakkan 2X woofer 70mm 30W dan 2X tweeter 20mm 20W yang menembak ke depan bagi menawarkan audio stereo. Sementara itu dia radiator yang besar pula diletakkan ke sisi untuk menghasilkan dentuman bass yang bertenaga.

Satu perkara yang perlu saya jelaskan ialah Xtreme 4 tidak dilengkapi mikrofon. Maka ia tidak boleh digunakan untuk sesi telesidang seperti kebanyakan speaker bluetooth mudah alih yang pernah saya ulas sebelum ini di Amanz.

Logo JBL yang diperbuat daripada logam diletakkan di hadapan dengan terdapat kemasan warna oren mengelilingi logo. Ini membuatkan speaker ini nampak semakin agresif. Di bahagian atas terdapat enam butang kawalan fizikal untuk mengaktifkan tambatan bluetooth, butang kuasa, butang padanan dengan speaker JBL lain, menjeda muzik dan dua butang untuk mengawal tahap kelantangan audio.

Kesemua butang ini diperbuat daripada bahan getah yang tidak menyakitkan tangan apabila ditekan. Ia juga memastikan butang akan lebih tahan lasak kerana tidak akan pecah seperti butang plastik jika speaker terjatuh. Sementara itu pada bahagian belakang terdapat port USB-C untuk mengecas semula speaker.

Xtreme 4 bukanlah speaker yang ringan kerana seberat 2.1 kilogram. Disertakan seutas tali yang apabila disambungkan pada cangkuk logam membolehkan Xtreme 4 disandang dengan selesa. Speaker ini melepasi piawaian IP67 maka pemilik tidak perlu risau ia rosak sekiranya terdedah kepada hujan dan debu apabila digunakan di luar.

Kualiti Audio

Bunyi yang dilontarkan oleh speaker ini secara lalai jelas menyasarkan golongan peminat muzik dengan bass yang kuat. Pada tetapan sekitar 50% audio Xtreme 4 adalah cukup lantang. Maka jika anda ingin mencari sistem hiburan mudah alih yang amat lantang, inilah speaker untuk anda.

Dalam mod lalai JBL Signature saya rasakan ia membuatkan vokal tenggelam kerana treble dan bass diberikan kelebihan. Ini adalah bagus untuk muzik elektronik, hip hop, jazz dan juga instrumental. Ini membuatkan saya pada awalnya tidak selesa dengan profil audio speaker. Pengalaman audio menjadi lebih baik selepas aplikasi JBL Portable dipasang dan tetapan equaliser lain dipilih.

Dalam mod Vocal misalnya barulah suara penyanyi dilontar dengan lebih jelas ke depan dan dentuman bass tidak lagi menyebabkan meja bergetar dan instrumen lain hilang dari pendengaran. Mod kegemaran saya ialah Energetic yang saya rasakan paling seimbang kerana bass masih kedengaran, treble masih jelas dan vokal masih di hadapan saluran audio yang lain. Saya tidak salahkan JBL kerana mengaktifkan JBL Signature secara lalai kerana produk JBL memang memberikan tumpuan kepada bass yang prominen sebelum ini.

Kerana terdapat sokongan bass yang cukup lantang, Xtreme 4 juga serasi digunakan sebagai speaker mudah alih apabila menonton filem. Peminat filem aksi akan dapat merasakan setiap letupan dalam filem Saving Private Ryan dan The Matrix. Bagi peminat podsiar pula aktifkan mod Vocal. Terdapat tetapan untuk genre muzik berbeza maka pembeli tidak perlu risau Xtreme 4 tidak memenuhi keperluan anda.

Secara peribadi saya meletakkan Xtreme 4 dalam tetapan Chill sepanjang masa kerana tidak menyakitkan telinga dan serasi dengan muzik Jazz dekad 40-50an yang gemar saya dengari di rumah. Ini juga pada hemat saya mod audio yang paling serasi digunakan pada waktu malam jika tidak mahu mengganggu orang sekeliling.

Perisian dan Aplikasi

Proses menambat speaker kepada peranti Android adalah mudah kerana terdapat sokongan Google Fast Pair. Sejurus selepas dihidupkan skrin notifikasi Fast Pair akan dipaparkan pada skrin dengan proses menambat semudah menekan satu butang sahaja. Usai ditambat peranti Android akan meminta anda memuat turun aplikasi JBL Portable daripada Play Store. Adalah bagus Fast Pair memberikan saranan aplikasi yang perlu dimuat turun kerana di Play Store terdapat aplikasi berbeza untuk fon kepala, speaker, soundbar dan lain-lain.

Selepas ditambat pilihan tetapan dalam aplikasi adalah agak terhad. Terdapat lima profil equaliser sahaja iaitu JBL Signature, Chill, Energetic, Vocal dan Custom. Kemudian terdapat tetapan PlaytimeBoost yang memanjangkan hayat bateri selama 6 jam lagi dengan mengurangkan kuasa pada woofer dan tweeter.

Mod stereo juga boleh diakses menerusi aplikasi tetapi sayangnya saya tidak dapat mengujinya kerana hanya menerima satu sahaja unit ujian daripada JBL. Turut terdapat menu untuk mengemaskini perisian speaker dan butang untuk mengembalikan Xtreme 4 ke tetapan kilang asal.

Bateri

Bateri 9444 mAh boleh bertahan sehingga 24 jam yang adalah cukup memuaskan untuk speaker mudah alih. Ia mampu bertahan sekitar seminggu sepanjang tempoh ulasan sebelum perlu dicas semula. Walaupun hayat bateri Xtreme 4 adalah bagus, masa untuk mengecas semula bateri adalah hampir 4 jam yang saya rasakan adalah agak lama walaupun menyokong pengecas 60W.

Kerana kapasiti bateri Xtreme 4 adalah besar, ia boleh digunakan sebagai powerbank untuk mengecas telefon pintar dengan output sehingga 22W. Satu lagi ciri yang agak menarik ialah mod pengecas pantas membolehkan penggunaan selama 2 jam dinikmati selepas dicas selama 10 minit sahaja.

Apa Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x JBL Xtreme 4.
  • 1x Kabel pengecas palam kuasa ke USB-C.
  • 1x Empat kepala pin pengecas.
  • 1x Tali sandang.
  • 1x Manual.
  • 1x Buku jaminan.

Kesimpulan

JBL Xtreme 4 ialah speaker bluetooth mudah alih terbaik saya ulas tahun ini. Biasanya dalam kategori ini kualiti audio yang dilontarkan memberikan tumpuan yang terlalu banyak kepada bass sehingga menyebabkan ia hanya serasi digunakan sebagai speaker untuk parti berdansa. Xtreme 4 memang nampak sangat agresif di luaran tetapi ia masih cukup fleksibel untuk memainkan genre yang lebih “tenang” dengan mengubah equaliser terbina dalam aplikasi.

Tidak perlu risau untuk ia dibawa keluar kerana mempunyai banyak bahagian getah untuk menyerap hentakan serta kemampuan kalis air IP67. Kekurangan Xtreme 4 saya rasakan ialah rekaannya yang nampak macam sebuah bola American Football. Terlalu agresif sehingga membuatkan ia menarik hanya kepada mereka yang inginkan aksesori yang nampak amat maskulin. Di Malaysia JBL Xtreme 4 dijual pada harga RM1799 dalam warna hitam, biru pekat dan celoreng askar.

Pro

  • Audio yang baik untuk speaker mudah alih.
  • Kalis air serta debu IP67.
  • Sokongan Google Fast Pair.
  • Rekaan tahan lasak.
  • Boleh disandang.
  • Hayat bateri yang baik dengan mod powebank.

Kontra

  • Pengecasan perlahan.
  • Aplikasi kurang ciri.
  • Rekaan agak agresif bukan untuk semua.

Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply