Koss Menyambut Ulang Tahun Ke-40 Siri Porta Pro Dengan Siri Fon Kepala Nirwayar Baharu

Koss merupakan sebuah jenama audio dengan sejarahnya tersendiri. Model Porta Pro mereka yang hadir dengan rekaan ikonik diperkenalkan sejak tahun 1984, dan kini, Koss nampaknya akan menyambut ulang-tahun ke-40 model ini dengan memperkenalkan Koss Porta Pro Wireless dengan beberapa pembaikan berbanding dengan model Porta Pro sebelum ini.

Dari segi rekaan, Porta Pro Wireless ini hadir dengan rekaan ikonik bersegi yang sama seperti sebelum ini. Perbezaan paling ketara ialah dari segi headband yang kini dilihat menggunakan dua keping logam berbanding dengan satu sebelum ini.

Apa yang unik mengenai rekaan ini ialah ia juga memegang komponen yang menerima dan menghantar isyarat audio yang membolehkan Koss untuk mengekalkan rekaan ikonik mereka. Ia juga mengekalkan rekaan boleh lipat unik mereka yang memudahkannya untuk dibawa kemana-mana.

Dari segi sambungan nirwayar, Koss Porta Pro Wireless ini hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar Bluetooth 5.2 yang membolehkannya disambungkan ke peranti dengan lebih cepat dan menggunakan kurang kuasa bateri.

Bercakap mengenai bateri, Koss mengatakan bahawa Porta Pro Wireless tampil dengan jumlah penggunaan selama 20 jam dengan satu pengecasan penuh, dan apa yang menarik di sini ialah ia juga disertakan bersama-sama sebuah kabel USB Type-C ke 3.5mm audio untuk membolehkan pengguna menggunakan fon telinga ini secara berwayar dan tidak perlu bergantung kepada bateri.

Bahagian sisi fon telinga ini juga hadir dengan permukaan sesentuh yang membolehkan pengguna untuk menatal pelbagai tetapan audio seperti memainkan, menjeda, menjawab panggilan, menatal kelantangan audio dan sebagainya.

Koss mengatakan bahawa fon telinga Porta Pro Wireless ini sudahpun berada di pasaran global, dan boleh dibeli melalui laman web mereka. Harga pasaran tempatan juga diperlihatkan, dan boleh dibeli secara import pada harga RM431 menurut laman web mereka.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply