KLUANG – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota penting demi mengukuhkan kestabilan serta memperkasakan pertumbuhan ekonomi di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mempunyai pelbagai perancangan dalam memastikan Johor menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.
Justeru, menurutnya calon BN perlu diberi mandat dalam PRK DUN Mahkota kerana ia penting dalam memastikan hala tuju negeri ini terus bergerak ke hadapan.
“Kita sedang lakukannya (jadikan Johor negeri maju). Selain itu dari segi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan eksport Johor adalah tertinggi dalam negara.
“Tidak lama lagi ada berita baik untuk ekonomi Johor yang akan terus meningkat pada akhir tahun ini iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Jumaat ini pula Inisiatif Zon Kewangan Khas akan dilancarkan (di Forest City, Iskandar Puteri). Ini usaha penting yang dibuat untuk negeri ini dan kita tidak lupakan Kluang sebagai hab ekonomi penting untuk Johor,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Tanglung di Tokong Che Luan Khor di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi UMNO Johor meminta semua pihak bekerjasama dalam satu pasukan untuk menjayakan agenda yang dirancangkan untuk negeri ini.
“Saya rayu, tolong bantu saya, (undi) seorang wakil rakyat baru (calon BN dalam PRK DUN Mahkota) yang boleh bekerja, bantu masyarakat dan bantu bangunkan Kluang bersama saya dan YB Wong (Shu Qi) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.