Saintis China Menggunakan Radiasi Satelit Starlink Untuk Mengesan Objek Siluman Di Udara

Jika anda mengikuti berita mengenai industri peperangan dan pertahanan, anda mungkin tahu bahawa terdapat sejumlah kapal terbang jet pejuang “siluman” (stealth jet fighters) yang sukar ataupun tidak boleh dikesan oleh radar konvensional seperti F-22 Raptor dan F-35 Lightning II oleh Lockheed Martin.

Akan tetapi, para saintis dari China baru-baru ini dilaporkan telah mendapati bahawa walaupun radar dari tanah tidak berkesan, penggunaan satelit dari angkasa nampaknya boleh mengesan jet-jet pejuang siluman ini.

Dengan menggunakan satelit-satelit Starlink, mereka telah berjaya mengesan sasaran siluman di Laut China Selatan, dengan menggunakan sebuah dron DJI Phantom 4 Pro sebagai simulasi sebuah jet pejuang kerana rekaannya yang hampir menyerupai sebuah jet pejuang siluman.

Saintis-saintis ini menggunakan satelit Starlink tersebut untuk mengesan perubahan dalam isyarat elektromagnetik daripada satelit, dan mengimbas perubahan tersebut untuk menentukan objek yang memasuki laluan isyarat elektromagnetik satelit tersebut.

Starlink kini dilaporkan adalah syarikat dengan jumlah satelit terbanyak di dunia, dan radiasi elektromagnetik yang dikeluarkan oleh satelit-satelit ini membolehkan para saintis untuk mengesan objek-objek yang berlegar di udara dimana satelit syarikat tersebut beroperasi.

Walaupun dron DJI Phantom 4 Pro ini hadir dengan saiz yang kecil, laporan-laporan mengatakan bahawa para saintis China ini dapat mengesan perubahan sekecil pergerakan dan perubahan dari segi kelajuan pemutar dan sebagainya, walaupun pada altitud yang rendah.

Buat masa ini, teknologi pengesanan objek siluman melalui satelit ini adalah sesuatu yang sangat baru dan masih belum boleh digunakan untuk tujuan pertahanan dan ketenteraan, tetapi ia dijangka bahawa dalam masa beberapa tahun lagi, kerajaan China akan tampil dengan kemampuan untuk mengesan jet pejuang siluman di udara tanpa sebarang masalah.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply