Selepas hampir 12 tahun berjuang dan tidak berputus asa untuk bergelar penyanyi, Farhan Mustapha berjaya dinobatkan sebagai juara The Grand Champion bagi program realiti nyanyian Gimme The Mic Malaysia pada malam Ahad lalu.
Menurut Farhan yang bekerja sebagai penebar roti canai, sebelum bersaing dalam program Gimme The Mic Malaysia dia telah menyertai pelbagai program realiti televisyen seperti Bintang RTM 2012 dan 2016, Akademi Fantasia 2015, dan Mentor Milenia 2017.
“Semasa Bintang RTM saya tersingkir pada separuh akhir, Akademi Fantasia tidak lepas ke konsert prelude, manakala Mentor Milenia saya tersingkir pada minggu pertama. Jadi, semasa minggu separuh akhir program ini saya rasa risau perkara sama berulang seperti mana program sebelum ini”
“Alhamdulillah, walaupun baru saja baik daripada Influenza A dan suara yang tidak berapa okey, saya akhirnya bergelar juara. Memang tidak sangka, tetapi mungkin ia sudah rezeki saya malam ini”
Persembahan dari Farhan yang kini berusia 28 tahun itu juga berjaya membuatkan hati para juri dan penonton tersentuh menerusi lagu Sampai Mati nyanyian asal Hazama dan Berhenti Berharap dari Sheila On 7.
Kemenangan Farhan berjaya melayakkan dirinya membawa pulang hadiah hampir RM30,000 iaitu wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, RM10,000 Gimme The Mic Alha Alfa, USD2000 (RM8600) daripada Tiktok, serta sebuah lagu baru terbitan Rocketfuel Entertainment.
Dalam pada itu, peserta yang berjaya melayakkan diri sebagai The Grand Six dan bakal mewakili Malaysia untuk bersaing di peringkat Gimme The Mic Global bersama peserta negara lain seluruh dunia ialah Farhan Mustapha, Syaffiq Sahli, Ameerais, Jelly Belly, Shazreen Shaharum, dan Bulan Asyraff.
Sekadar info, program Gimme The Mic Malaysia diadili oleh juri tetap iaitu Ajai, Yuna, Hael Husaini dan Bunga Citra Lestari. Sementara, Sherry Alhadad dan Sean Lee selaku pengacara program yang bersiaran selama lapan minggu itu dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.