KOTA BHARU – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor mengakui tiada individu yang mahu menjadi saksi untuk pihaknya menfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos lalu.
Menurut beliau, situasi itu jelas memberikan kesukaran kepada Bersatu dalam melaksanakan langkah tersebut.
“Mengikut peguam kena pastikan ada saksi yang menerima untuk pembuktian. Dalam kes ini semua orang tahu, ada yang terima (wang) tetapi mereka tidak mahu menjadi saksi,” katanya semasa sidang akhbar pada Selasa malam.
Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Pesta Tanglung Kelantan 2024 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini.
Kamarudin memberitahu, bagaimanapun perancangan untuk menfaikan petisyen tersebut masih lagi berjalan.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Perikatan Nasional (PN) mengakui tidak mudah untuk mengumpul maklumat dan bukti bagi memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon BN pada PRK DUN Nenggiri, 17 Ogos lalu.
Kamarudin berkata, proses itu sedang dilakukan dan pihaknya tidak perlu terburu-buru kerana tiada tempoh dihadkan untuk memfailkan petisyen berkenaan.
Pada PRK itu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri dengan kemenangan majoriti besar sebanyak 3,352 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi, menewaskan Mohd Rizwadi Ismail dari Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), dengan meraih 5,739 undi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.