Setuju MoU ditolak semua wakil rakyat – Pesuruhjaya Pas Pahang

Rosli

KUANTAN – Semua wakil rakyat yang beragama Islam diseru agar menolak memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan ahli Parlimen pembangkang tanpa mengira parti politik.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar menjelaskan, penolakan itu demi membebaskan diri daripada kemurkaan ALLAH SWT dan azab-Nya di hari akhirat.

“Saya sangat bersetuju MoU ini ditolak, tak mungkin sebagai orang yang beriman sanggup untuk menggadaikan agama, negara dan bangsa demi untuk mendapat peruntukan.

“Insya-ALLAH kami sanggup berusaha sedaya mungkin untuk membela rakyat dengan apa yang kami mampu, tiada gunanya peruntukan jika sekiranya rakyat Malaysia berada di ambang kemusnahan,” katanya pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur itu berkata, peruntukan tersebut adalah hak wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat.

“Dalam bab ini, mereka tak nak pula bersifat kemanusiaan, masih lagi beramal dengan cara pemerintahan ‘babarian’, gunakan kuasa untuk memerah supaya mengikut telunjuk mereka semata-mata walaupun memudaratkan negara dan rakyat.

“Saya sangat setuju MoU ini ditolak. Namun ingat manusia bencikan kezaliman, sampai ketikanya doa orang dizalimi pasti akan dimakbulkan oleh-Nya,” jelas beliau lagi.

Rosli memberitahu, hak asasi manusia dalam Islam bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja, tetapi mesti berada di dalam lingkaran syariat Islam.

Ujarnya beliau, begitu juga dengan orang bukan Islam, setiap negara yang diterajui oleh orang Islam mesti juga memelihara maslahah dan menolak sebarang sistem dan hak yang membawa kemudaratan kepada rakyatnya tanpa mengira kaum, bangsa serta agama.

“Atas nama hak asasi manusia semata-mata, tanpa dipandu syariat pastinya membawa mudarat, manusia bebas berbuat apa sahaja kerana mereka adalah manusia yang memiliki hak, ke mana kerajaan sekarang nak bawa rakyatnya?

“Kalau kita melihat di barat di antara apa yang mereka perjuangkan ialah perkahwinan sesama jantina, perkahwinan manusia dengan haiwan dan pelbagai perbuatan songsang supaya diiktiraf atas nama hak asasi manusia.

“Kita juga menolak kesan dari MoU ini yang bakal membawa kepada penghapusan hak keistimewaan bumiputera dan Islam seperti isu sijil halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang dipertikaikan oleh wakil rakyat DAP baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang masih menjadi kontroversi itu.

Fadillah dilaporkan berkata, tindakan itu diambil bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply