Langkah kanan Sze Fei-Nur Izzuddin di China

Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin lulus ujian pertama Terbuka China setelah menewaskan pasangan tuan rumah pada Selasa. Foto SPOTV

BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bekerja keras sebelum mara ke pusingan kedua Terbuka China sebentar tadi.

Mereka bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi dalam tempoh 53 minit permainan.

Dalam aksi di Olympic Sports Center Gymnasium itu, Bo Yang-Liu Yi memimpin permainan menerusi kemenangan pada set pertama 21-17.

Sze Fei-Nur Izzuddin kemudian memperkemaskan permainan untuk mengatasi pasangan lawan 21-12 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Saingan sengit dipamerkan kedua-dua gandingan, namun pengalaman memihak pasangan negara yang mengesahkan kemenangan 21-19 pada kejohanan berstatus Super 1000 itu.

Ia merupakan pertemuan kedua buat mereka setelah aksi pertama dalam saingan Terbuka Amerika Syarikat pada Julai 2023 yang memihak Sze Fei-Nur Izzuddin.

Dalam pada itu, beregu Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara ke pusingan berikutnya setelah menewaskan pasangan China, Xie Nao Han-Zeng Wei Han 21-17,21-19 dalam masa 47 minit.

Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut menceriakan kem badminton negara.

Pasangan suami isteri itu menumpaskan gandingan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 21-13, 21-15 untuk melangkah ke pusingan kedua.

Bagaimanapun nasib malang buat pemain perseorangan profesional, Goh Jin Wei apabila tewas kepada pemain Taiwan, Sung Shuo Yun 21-9, 12-21, 21-8.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply