KLUANG – Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menjadi antara perkara yang disuarakan golongan belia agar diberi perhatian oleh wakil rakyat yang bakal mendapat mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.
Penduduk Kampung Semberong Lapis, Nur Shamimi Mohd Zailan, 21, berkata, dia mahu wakil rakyat kelak mengambil inisiatif yang boleh membuka peluang pekerjaan bagi belia tempatan, baik pekerjaan tetap mahupun sambilan.
Selain itu menurutnya, bantuan agar anak muda dapat meningkatkan kemahiran juga wajar diberi perhatian.
“Dengan kemudahan latihan yang disediakan, anak muda boleh memajukan diri contohnya dengan membuka perniagaan sendiri.
“Harapan saya agar bakal ADUN nanti jadi wakil rakyat berguna untuk DUN ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi penduduk Taman Sri Tengah, Izwan Jamil, 23, soal kemudahan untuk golongan belia masih boleh dinaik taraf tanpa melibatkan pembangunan baharu yang akan mengundang pembaziran.
Katanya, perhatian boleh diberikan untuk memperbaiki pelbagai kemudahan sukan dan dalam masa sama mahu bakal wakil rakyat sentiasa bersedia menghulurkan bantuan setiap kali diperlukan belia.
“Kita nak dia senang dengan kita dan kita senang dengan dia, contohnya boleh buat aktiviti yang gabungkan semua belia,” jelasnya.
Bagi pembantu kedai, Nurul Adila Shamsul Idham, 20, yang bakal mengundi buat kali pertama pada PRK kali ini pula mengharapkan agar infrastruktur jalan raya di DUN Mahkota dapat dinaik taraf.
“Infrastruktur di sini perlu naik taraf lagi supaya kurangkan kesesakan. Lepas itu kalau boleh jalan-jalan dekat sini dibaiki segera,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga, Saiful Rezza Masrom, 38, berharap wakil rakyat kelak dapat memperbanyakkan lagi bantuan kepada golongan peniaga.
“Saya juga harap siapa pun yang dipilih jadi wakil rakyat nanti dapat bantu rakyat dengan adil dengan segera,” kongsinya.
Golongan muda dilapor bakal menjadi penentu kemenangan calon pada PRK DUN Mahkota.
Kumpulan itu mendominasi jumlah pengundi iaitu lebih 50 peratus menjadikan calon parti yang bertanding perlu bijak menambat hati golongan berkenaan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.