“Kagum Dengan Semangat Umi, Sambung Belajar Pada Usia 45” DR FASIHA Kenang Pengorbanan Ibu

Berusia 29 tahun, adik kepada akres Fathia Latiff ini bukan hanya cantik bahkan bijak orangnya.

Dr Nur Fasiha Abdul Latiff atau mesra disapa Dr Fasiha merupakan graduan perubatan Trinity College Dublin serta bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah Seremban.

Dalam kesibukannya sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Fasiha turut mengusahakan bisnes sampingannya iaitu Mulan Scarf dan pakaian perubatan scrubs ‘Three 0’.

PENGORBANAN IBU
“Ibu, Badriyah Hassan, yang saya panggil Umi memang seorang superwoman. Satu ketika dulu, ibu pernah bekerja dan pada masa yang sama perlu menguruskan anak-anak yang ketika itu masih bersekolah.

“Setiap pagi, selalunya ibu akan hantar kami ke sekolah kemudian terus ke tempat kerja. Tengahari datang semula jemput anak-anak balik. Di rumah telah tersedia makanan untuk kami.

“Bila balik kerja, ibu akan kemas rumah dan buat tugas-tugas rumahtangga yang lain. Itulah yang membuatkan saya bangga dan bersyukur kerana dikurniakan seorang ibu yang sangat hebat. Ibulah sumber inspirasi saya.

“SATU LAGI PERKARA YANG BUAT SAYA BANGGA DENGAN IBU IALAH KETIKA USIANYA 45 TAHUN, IBU TERBUKA HATI UNTUK SAMBUNG BELAJAR AMBIL MASTER SELAMA DUA TAHUN. WALAUPUN BANYAK TANGGUNGJAWAB TETAPI IBU MAMPU MENGURUSKAN MASANYA DENGAN BAIK.

“Ibu berjaya membuktikan it’s never too late to gain knowledge. It is powerful!”

CITA-CITA SEJAK KECIL
“Sejak kecil saya memang mahu bergelar doktor kerana terinspirasi dengan kisah seorang sepupu. Semasa saya berusia 13 tahun, sepupu ini sudah pun bergelar Pakar Perunding Rheumotologi di Ireland.

“Bila berpeluang berjumpa dan berborak dengannya, dapatlah saya dengar serba sedikit mengenai bidang perubatan. Dialah idola dan pencetus semangat untuk saya teruskan impian bergelar doktor,” ujar anak ketiga dari empat beradik ini.

DETIK MENCABAR SEBAGAI DOKTOR
Sepanjang bergelar doktor, detik paling mencabar ialah ketika pandemik COVID-19 yang berlaku beberapa tahun lalu. Ia juga detik paling sedih dalam hidup Dr Fasiha.

“Ketika itu saya diarahkan untuk menjaga pesakit berusia lebih 60 tahun. Mereka ditempatkan di beberapa wad. Bila terlalu ramai pesakit, alat ventilator (alat pernafasan) menjadi terhad.

“Sebagai doktor yang bertanggungjawab, saya merasa amat sedih kerana tidak dapat memberi peluang kepada pesakit untuk mendapatkan alat tersebut. Sehingga berlakunya kematian dan saya sendiri menjadi saksi. Memang sedih walaupun saya sudah buat yang terbaik.”

Menurutnya lagi, beliau amat tertekan kerana terlalu penat dan terpaksa menjarakkan diri dari ahli keluarga. Masa bersama keluarga juga kurang. Begitulah rutinnya setiap hari ketika di awal pandemik COVID-19 berlaku.

“Ketika itu saya masih bujang dan tinggal bersama kedua ibu bapa. Sebolehnya saya tidak mahu merisikokan mereka. Bila keadaan makin teruk, saya terpaksa tinggal di rumah lain buat sementara. Setiap hari saya akan video call mereka untuk tanya khabar dan melepaskan rindu.”

KAHWIN SESAMA DOKTOR
“Suami, Dr Hazheem Syazwan merupakan doktor tulang (orthopaedic) dan bertugas di hospital yang sama dengan saya. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat supportive dan memahami. Contohnya kalau saya balik kerja lewat atau belum makan lagi, suami sudah siapkan makanan di rumah.

“Begitu jugalah saya. Bagi saya, hikmah dari perkahwinan ini ialah kami sama-sama memberi semangat antara satu sama lain. Ibu sering berpesan, dalam perkahwinan perlu sentiasa memberi dan menerima, serta saling berkompromi.”

IMPIAN
“Saya berhasrat untuk mengembangkan lagi karier untuk menjadi seorang pakar kardiologi di hospital. Jika tidak meniad seorang doktor, mungkin sekarang saya bergelar usahawan.”

Semoga segala impian serta perjalanan Dr Fasiha untuk berjaya dalam bidang perubatan dan perniagaan dipermudahkan.

Kredit Foto: Instagram Dr Fasiha Latiff

Comments

Leave a Reply