ALOR SETAR – Memorandum Persefahaman (MoU) yang konstruktif antara kerajaan dan pembangkang amat diperlukan dalam mencapai kesepakatan untuk kebaikan bersama.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari berkata, draf MoU yang ditawarkan oleh kerajaan kepada pembangkang adalah untuk mencapai suatu persefahaman yang membawa kepada kestabilan dan keharmonian negara.
Menurutnya, isu penting berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, Islam dan isu melibatkan agama, institusi raja dan kaum (3R) khususnya, tidak boleh digugat atau dipolitikkan.
“Jika perkara-perkara ini tidak dicapai (persefahaman), akan wujud pelbagai aksi daripada ahli politik yang menimbulkan kekacauan dalam negara. Kita perlu mainkan peranan dalam mengembalikan kepercayaan pelabur asing selain mengukuhkan kestabilan negara ini,” katanya di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama, iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyifatkan penolakan pembangkang terhadap draf MoU berkenaan tidak berlandaskan alasan yang kukuh.
“Persoalannya, mengapa pembangkang menolak sebuah usaha murni ini sedangkan setiap kali persidangan Dewan, mereka berkali-kali menuntut agar diberikan peruntukan yang sama.
“Adakah pembangkang sedia mengemukakan draf alternatif bagi dinilai untuk perbincangan selanjutnya?” soalnya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Perpaduan bersedia memberikan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen yang mana perkara ini tidak dilakukan ketika Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ke-8.
“Namun sudah tentu MoU berkenaan mestilah berlandaskan sebuah persefahaman yang menguntungkan rakyat dan negara.
“Kita lihat pada zaman pemerintahan bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap gabungan parti menghantar wakil perunding dan terbuka pada perbincangan demi kepentingan rakyat,” jelasnya.
Taufiq berkata, biarpun peruntukan ahli Parlimen tidak termaktub dalam Akta Perkhidmatan Parlimen, namun inisiatif mewujudkan peruntukan khas Perdana Menteri itu wajar dihargai dan ia hak mutlak dan atas budi bicara Perdana Menteri.
“Meskipun tidak disalurkan kepada wakil rakyat, peruntukan tersebut tetap diberikan secara terus kepada rakyat melalui agensi dan kementerian,” jelasnya.
Menurutnya, sebagai pemimpin dan ahli politik seharusnya menunjukkan sikap tauladan kepada rakyat dan persefahaman seumpama amatlah penting.
“Kita kini sedang menuju ke arah senario politik matang, ahli-ahli Parlimen sewajarnya berbahas dan berdebat mengenai polisi negara, bukan berbalah dan terus berpolitik mengenai sentimen yang memecahbelahkan masyarakat,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.